Baru-baru ini tular satu insiden kemalangan yang boleh dikategorikan sebagai ‘satu dalam seribu’, di mana orang dilanggar dan pelanggar tenang selesaikan isu kemalangan dengan matang.

Menerusi video Facebook yang dikongsikan oleh pemilik Lamborghini Urus, Abdul Rahim dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas selesai urusan kerja.

Baca Juga:

Semasa beliau berada di lorong RFID berhampiran sebuah plaza tol, sebuah kereta Kia telah membuat pusingan-U secara mengejut lalu melanggar bahagian kiri SuperSUV miliknya.

 

Sejurus kemalangan itu berlaku, Abdul Rahim keluar daripada kereta, melihat bahagian yang dilanggar dan bersalam dengan pemandu warga emas yang melanggarnya.

Kemudian beliau pergi melihat kerosakan pada bahagian kanan kereta Kia yang dipandu warga emas tersebut. Walaupun keretanya dilanggar, Abdul Rahim masih boleh tersenyum menunjukkan kesan pelanggaran pada Lamborghini miliknya.

Beliau turut berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima daripada Mr.Wong, pemandu Kia yang tidak sengaja melanggarnya.

Sumber Gambar: FB Abdul Rahim

Dalam perbualan mesej WhatsApp itu, Mr.Wong menjelaskan beliau seorang pesara yang tidak lagi bekerja. Beliau memohon maaf atas kemalangan yang berlaku dan sedia bertanggungjawab sepenuhnya membayar kos baik pulih kerosakan.

Bagaimanapun Abdul Rahim menolak permintaan Mr.Wong dengan baik kerana kerosakan yang berlaku itu cuma kecil sahaja.

Mr.Wong membalas beliau tetap rasa bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku itu dan meminta Abdul Rahim untuk memberitahu kos baik pulih. Beliau juga menghargai sekiranya ditawarkan untuk membayar kos tersebut dengan harga diskaun.

Sumber Gambar: FB Abdul Rahim
Sumber Gambar: FB Abdul Rahim

Setakat artikel ini ditulis video yang dikongsikan itu telah mendapat lebih seribu komen dan seribu kali perkongsian. Orang ramai memuji kedua-dua pihak berjaya menyelesaikan insiden kemalangan itu dengan penuh matang dan bertanggungjawab.

Abdul Rahim meluahkan rasa bersyukur kerana video yang tular itu mendapat maklum balas positif daripada netizen.

“Sekurang-kurangnya dapat cuci semula imej bahawa bukan semua pemilik Lamborghini itu sombong & tak beretika di jalan raya seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar beliau.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.