Beberapa hari lalu tular satu rakaman dashcam di mana beberapa penunggang basikal dirempuh dari belakang. Video berdurasi 22 saat itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen.

Terbaharu, pihak polis menjelaskan kenderaan yang melanggar dua penunggang basikal seperti yang digambarkan dalam video tular adalah kenderaan e-hailing dan kemalangan itu berlaku di Jalan Dengkil-Kota Warisan pada 27 Ogos.

Baca Juga:

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata pemandu e-hailing dan salah seorang penunggang basikal telah membuat laporan polis mengenai kemalangan itu dan telah direkodkan keterangan mereka, manakala penunggang basikal yang lain masih belum membuat laporan.

Tambahnya lagi, pemandu e-hailing sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sedang menyemak mesej yang diterima pada aplikasi e-hailing apabila kemalangan itu berlaku kira-kira 7.15 pagi.

“Ketika menyemak mesej itu, pemandu tersebut melanggar belakang salah satu basikal diikuti basikal kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini sambil menambah kenderaan itu mengalami kerosakan pada bampar depan dan bonet, dan basikal itu mengalami kerosakan pada tayar belakang dan rim.

Md Noor berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.