Baru-baru ini, nama YouTuber Daud Kim menjadi bualan ramai apabila ada influencer mendakwa Daud Kim menipu dengan meminta derma menggunakan akaun peribadi kononnya bagi pembinaan masjid di Incheon.

Daud Kim memaklumkan selain bercadang membina masjid dia juga mahu menjadikan lokasi itu sebagai studio podcast untuk menyebarkan dakwah. Susulan itu, Korean Muslim Federation telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit.

Baca Juga:

Difahamkan, semua Masjid di seluruh negara yang dikaitkan dengan Persekutuan Muslim Korea didaftarkan di bawah nama KMF, dan tiada sesiapa dibenarkan mendaftar atas nama individu atau mengumpul dana untuk pembinaan Masjid.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kutipan derma untuk pembinaan Masjid oleh Daud Kim yang baru-baru ini telah ditanya tentang KMF oleh pelbagai pertubuhan dan individu Islam di dalam dan luar negara, tiada kaitan dengan KMF dan merupakan aktiviti mengumpul dana oleh Daud Kim secara peribadi.” tulis kenyataan itu.

Daud Kim dalam satu kenyataan di Instastory miliknya mengatakan bahawa projek pembinaan masjidnya terbatal selepas pemilik tanah membuat permohonan untuk membatalkan kontrak.

Bukan itu sahaja, projek pembinaan masjidnya itu juga menerima desakan dan ancaman selepas influencer Korea Muslim menaikkan isu tentang projeknya.

Walau bagaimanapun, Daud mempunyai cara lain untuk meneruskan projeknya dan akan menyelesaikan urusan terbabit selepas pulang ke Korea.

Di dalam satu hantaran lain, dia juga akan membuat semakan pada akaun miliknya jika berlaku sebarang aktiviti haram dan membuat hebahan kepada umum.

Tambahnya, dia akan membuat akaun korporat selepas ini dan mengatakan dirinya tidak tahu menahu tentang undang-undang untuk meminta derma.

Menurutnya, dia tidak berniat jahat dan tidak akan pernah menipu sesiapa.  Daud juga berharap orang ramai tidak akan tertipu dengan sebarang berita palsu.

Untuk pengetahuan anda, Daud pernah didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita pada tahun 2019. Bagaimanapun, ia diselesaikan selepas dia tampil membuat satu pengakuan dan memohon maaf di saluran YouTube miliknya.