Siapa sangka, hobi menonton anime mampu menjadi penyelamat nyawa ketika berdepan detik cemas antara hidup dan mati.
Perkara luar biasa ini dialami sendiri oleh seorang pemandu di Jepun yang berjaya melepaskan diri daripada kenderaan yang sedang tenggelam di dasar sungai, hanya berpandukan teknik ikhtiar hidup daripada siri animasi popular, Detective Conan.
Detik Cemas Terhumban Ke Dalam Sungai
Insiden mencemaskan ini berlaku pada 8 November lalu apabila mangsa yang memandu kereta kompak jenis Daihatsu Copen terlibat dalam pertembungan dengan sebuah kenderaan berhampiran kawasan tanah perkuburan.
Menerusi perkongsian di laman X menggunakan akaun @nozinozi053, beliau menceritakan bahawa kereta terbabit memecut secara tiba-tiba ketika beliau cuba memotong, sekali gus mengakibatkan keretanya tersasar lalu terjunam ke dalam sungai yang dalam.
Ruang kabin mula dipenuhi air dengan pantas sementara pintu kereta terkunci rapat akibat tekanan arus sungai.
“Dua puluh saat pertama selepas kemalangan, saya benar-benar sangka hayat saya sudah berakhir di situ,” luah mangsa mengimbau situasi genting apabila kudratnya gagal menolak pintu kenderaan.
これが、水没してる時に頭をよぎって、生きて脱出出来ました!コナンの作者には感謝しきれません!
ほんとに最初の20秒くらいで死を覚悟したが、不意にこのシーンが頭を過り、生きて出れました https://t.co/8vsQoZeBY6 pic.twitter.com/TLApBiOzIP— みらじーの (@nozinozi053) November 8, 2026
Babak Detektif Conan Jadi Penyelamat
Dalam saat genting tersebut, ingatannya tiba-tiba terarah kepada satu babak dalam Detective Conan Episod 1078, bertajuk The Black Organization’s Scheme (Landing). Episod berkenaan memaparkan situasi ejen FBI, Andre Camel, yang terperangkap di dalam kereta di dasar laut semasa melarikan diri daripada musuh.
Menerusi babak itu, Conan membimbing teknik menyelamatkan diri dengan memanfaatkan saki-baki poket udara di bahagian siling bumbung untuk bernafas sambil menunggu air memenuhi ruang kabin.
Tujuannya adalah untuk menyamakan tekanan udara di dalam kereta dengan tekanan air di luar, membolehkan rintangan berkurangan supaya pintu dapat ditolak.
Tanpa membuang masa, pemandu ini bertenang dan membiarkan air masuk memenuhi ruang kereta. Sebaik sahaja tekanan seimbang, pintu akhirnya berjaya dibuka dan beliau berenang keluar ke permukaan sebelum dibantu penduduk setempat naik ke tebing sungai.
Luahan Syukur Buat Gosho Aoyama
いざという時には、コナンで学べる
アニメ第1078話「黒ずくめの謀略(上陸)」
アンドレ・キャメル捜査官が黒ずくめの組織に追い詰められ、車ごと海に落下した後に水没した車内から脱出するエピソードhttps://t.co/z6eSvjUgPt (2023年4月1日放送回) pic.twitter.com/VGy2solGTN
— ジンチュウ (@bakugekidayo15) October 2, 2026
Selepas diselamatkan, mangsa berkongsi kisah itu di media sosial serta menzahirkan rasa terhutang budi kepada pengkarya manga berkenaan, Gosho Aoyama.
“Babak itu melintas di fikiran saya semasa tenggelam, dan saya berjaya keluar hidup-hidup! Rasa terima kasih saya kepada pencipta Conan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” tulisnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis, doktor, dan paramedik yang merawatnya terkejut melihat keadaannya yang selamat, memandangkan ramai mangsa dalam situasi sama sering tewas akibat panik.
Kisah luar biasa ini pantas meraih perhatian peminat anime di seluruh dunia.
Ramai yang berseloroh bahawa ilmu daripada siri penyiasat cilik ini ternyata lebih praktikal daripada latihan memandu biasa, membuktikan ketelitian fakta sains dalam sesebuah karya fiksyen mampu memberi manfaat besar dalam dunia realiti.