Dua pengawal peribadi yang dipukul majikan kerana berpuasa empat tahun lalu bersyukur selepas bekas majikan mereka telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret, hari ini.

Memetik Harian Metro, Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dia sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya ketika berpuasa pada 2021 itu.

Baca Juga:

“Niat saya adalah untuk menyempurnakan ibadah Ramadan namun sebaliknya dihina dan dicederakan majikan ketika itu.

“Alhamdulilah, doa saya dan keluarga dimakbulkan Allah apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada bulan puasa,” katanya sebak.

Tegasnya, tugas pengawal peribadi adalah menjaga majikan dan bukannya dipukul atau dihina.

Sementara Ahmad Shamsuri Zailani, 31 berkata penat lelah ke mahkamah selama empat tahun berbaloi dengan keputusan berkenaan.

“Ia adalah keadilan buat kami dan perjuangan kami selama ini tidak hanya sia-sia. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami,” katanya.

Majistret Siti Zubaidah Mahat memutuskan hukuman selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.

Ahli perniagaan terbabit dijatuhi hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 atas tiga pertuduhan mengugut dan mencederakan dua pengawal peribadinya kerana berpuasa pada tahun 2021.

Sumber