Suspek yang terlibat dalam kes penembakan di Setia City Mall pada 8 Februari lalu maut ditembak di Pulau Ketam, awal pagi tadi.

Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Baca Juga:

Penembak Setia City Mall ‘Berdepan’ Dengan Polis

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau ketam itu.

“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.

“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.

“Semakan mendapati saspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan.

Setia City Mall

Dalam kejadian jam 10 malam 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli belah di Setia Alam, semasa berada di Aras P1.

Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksa lelaki itu membawanya menuju sebuah kawasan di Pandamaran, Klang dan memberhentikan keretanya.

Pada April tahun lalu, negara dikejutkan dengan insiden tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seorang suspek iaitu Hafizul Hawari, 38, ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan jam 3 petang.