TRW Kelantan gagal memperolehi Lesen Kebangsaan sekaligus menyaksikan mereka tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Keputusan ini dibuat kerana Kelantan gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Baca Juga:

Pada 1 November 2023, pihak FIB telah bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan menyelesaikan Langkah Pertama bagi sub-kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan kesemua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.

Manakala Langkah Kedua bagi sub-kriteria F.11 bagi penyelesaian (5) lima kes FIFA yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

Namun bagi Langkah Pertama untuk penyelesaian sub-kriteria F.04, pada 15 November 2023 Kelantan telah merayu untuk diberikan lanjutan masa sehingga 30 November 2023 untuk menyelesaikan arahan tersebut.

Pihak FIB menerima rayuan ini tetapi dalam masa yang sama menjatuhkan hukuman denda kepada Kelantan sebanyak RM20,000.00 serta hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga kesemua kes FIFA selesai sepenuhnya.

Pada 1 Disember 2023 selepas tarikh tempoh 30 November yang diberikan oleh pihak FIB, TRW Kelantan telah menghantar lampiran dokumen bukti menunjukkan “post dated cheque”.

Pada 10 Disember 2023, pihak FIB telah menerima dokumen yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan untuk bulan Ogos 2023 namun pihak FIB mendapati bukti-bukti tersebut masih tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan

Pihak FIB juga telah melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji telah dilakukan oleh pihak Kelantan.

Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab. Pihak Kelantan telah menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai yang terlibat. Kelantan kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan.

MFL meminta Kelantan untuk menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk kesemua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan pihak FIB. Setelah menerima dokumen daripada Kelantan FC pada 18 Disember 2023, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

Seterusnya bagi Langkah Kedua, pihak FIB mengarahkan Kelantan FC menjelaskan semua (5) lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos 2023 sebelum atau pada 31 Disember 2023 jam 5:00 petang, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

TRW Kelantan tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

Setelah gagal menyelesaikan Langkah Pertama dan Langkah Kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, maka Kelantan FC gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025.

Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 sebelum jam 5:00 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan.