Kebiasaannya, kemalangan jatuhnya pesawat sering kali dikaitkan dengan kegagalan juruterbang semasa mengemudi pesawat ataupun disebabkan malang yang tidak berbau. Namun, pernah atau tidak anda terbaca kisah mengenai juruterbang syarikat Russian Aeroflot Flight 6502 yang sengaja melakukan pendaratan ‘buta’ pesawat Tu-134-A tanpa melihat landasan kapal terbang sehingga menyebabkan kemalangan yang begitu tragis?
Sahut taruhan pendaratan ‘buta’ demi uji tahap kemahiran membawa pesawat
Menurut halaman LA Times, pada 20 Oktober 1986, seramai 87 orang penumpang dan 7 kru pesawat dilaporkan telah berlepas dari Yekaterinburg dan akan mendarat dengan selamat di lapangan terbang Grozny (pada ketika itu digelar Kuybyshev).
Apabila sudah sampai waktu untuk pesawat tersebut mendarat di Grozny, juruterbang, Alexander Kliuyev dengan bongkaknya dan penuh rasa yakin diri yang tinggi sanggup menyahut satu ‘pertaruhan’ atau bet bersama pembantu juruterbangnya, Gennady Zhinov.
Khabarnya, Gennady mencabar ‘bet’ kepada Kliuyez untuk melakukan pendaratan ‘buta’ di mana beliau langsung tidak dibenarkan melihat ke arah landasan sebaik sahaja pesawat tersebut perlu mendarat. Seandainya beliau berjaya melakukannya, secara automatik pertaruhan tersebut dimenangi Kliuyez dan beliau akan dinobatkan sebagai juruterbang yang mempunyai tahap profesional yang tinggi.
Menurut sumber, Kliuyev difahamkan dengan beraninya melakukan pendaratan ‘buta’ pada ketinggian altitud 1,300 kaki, dua minit sebelum pesawat mendarat di atas landasan.
Sebelum mendarat, Kliuyev sempat memberikan arahan kepada jurutera penerbangan untuk menarik tirai sehingga menutup keseluruhan cermin hadapan kokpit pesawat kononnya beliau terlampau yakin bahawa pesawat tersebut akan selamat mendarat di atas landasan kapal terbang.
Tidak mengendahkan soal keselamatan diri, penumpang dan kru
Gara-gara terlampau yakin, Kliuyev pada ketika itu langsung tidak mengendahkan soal keselamatan dirinya, kru kapal terbang serta para penumpang walaupun penggera kecemasan telah pun menghidupkan bunyi amaran bahaya.
Pada altitud 200 kaki, pihak Air Traffic Controller (ATC) tempatan telah menghantarkan pesanan kepada Kliuyev bahawa pesawat tersebut dilaporkan akan mendarat dalam keadaan yang tidak stabil. Namun, beliau masih berdegil dan ingin meneruskan juga impiannya itu.
Disebabkan tidak mahu mendengar pandangan orang lain, pesawat yang dibawa oleh Kliuyev mendarat dalam keadaan yang terlalu laju serta tidak stabil. Beberapa saat sebelum mendarat, Kliuyez sempat membatalkan hasratnya untuk melakukan pendaratan ‘buta’ seperti dilaporkan oleh akhbar Soviet Rusia. Namun sudah terlambat dan malang tidak berbau, pesawat tersebut menjunam lalu terbalik di atas landasan dan terbakar.
Pendaratan yang tidak sempurna telah mengorbankan 70 nyawa
Insiden malang tersebut serta-merta telah mengorbankan 63 nyawa penumpang di tempat kejadian manakala 7 orang termasuk Gennady yang meninggal dunia disebabkan serangan jantung semasa perjalanan menuju ke hospital berdekatan. Nasib baik menyebelahi Kliuyez di mana beliau terselamat daripada nahas tersebut.
Kliuyez kemudiannya dibicarakan di mahkamah dan hakim telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun kepada beliau atas kesalahan cubaan melakukan pendaratan ‘buta’ tanpa pematuhan etika penerbangan yang sepatutnya. Beliau juga disabitkan atas kesalahan cubaan pendaratan ‘buta’ hanya untuk memenangi pertaruhan ‘bet’ dan menguji tahap kemampuan beliau sebagai juruterbang yang profesional. Namun, beliau akhirnya dibebaskan dan hanya tinggal di penjara selama 6 tahun sahaja.
Hendak melakukan pertaruhan ‘bet’ bersama kenalan rapat atau kawan-kawan itu boleh. Namun janganlah sampai ia melibatkan nyawa orang lain yang tidak bersalah. Tapi, dalam kes ini, Kliuyez dilaporkan bersifat ‘tenang’ di saat kes beliau dibicarakan di mahkamah. Baginya kehebatan skill juruterbangnya lebih penting daripada nyawa kru pesawat juga para penumpangnya. Apa pendapat anda?
Baca lagi mengenai kisah seorang juruterbang yang disedut keluar selepas tingkap kapal terbang pecah melalui pautan di bawah.
Tipu Isteri Ke Pontianak Naik Pesawat Sriwajaya Air, Lelaki Ini Rupanya Ke Bali Dengan ‘Skandal’
Pesawat AirAsia Terpaksa Melakukan Pendaratan Kecemasan Gara-Gara ‘Powerbank’ Penumpang Meletup