Sudah berulang kali kita mendengar kisah rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara kerana didakwa menerima tawaran kerja lumayan. Bagaimanapun, tawaran palsu ini akan berakhir dengan sedutan insiden penyeludupan manusia oleh penjenayah.
Menerusi laporan terkini, antara faktor terdapat rakyat Malaysia yang pergi berkerja di luar negara sehingga terperangkap di sana adalah kerana terpengaruh dengan iklan kerja kosong melalui platform media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta manfaat lain.
Baca Juga:
- ‘Dijanjikan’ Kerja Gaji Lumayan Di Luar Negara, Mangsa Dedah Terpaksa Jadi Pelacur Dan Makan Babi
- Suka Bercakap Lucah Dan Ajak Keluar, Bekas Pekerja ‘Spill The Tea’ Perangai Toksik Bekas Majikan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ahli keluarga atau ibu bapa mereka akan melaporkan kepada polis berhubung kehilangan anak mereka atau meminta bantuan supaya anak mereka diselamatkan setelah mangsa berada di luar negara.
Puncanya adalah terpengaruh dengan kempen dalam media sosial di mana mereka ditawarkan bekerja di luar negara dengan upah lumayan, tempat tinggal selesa, tambang kapal terbang diberikan dan segala macam.
“Dan apabila mereka telah sampai ke sana (ke negara terbabit) dapati keadaan mereka lalui tak sama seperti mereka diberitahu, jadi daripada situlah kemudiannya ada yang sempat menghubungi pihak polis,” katanya.
Kelmarin Sinar Harian melaporkan ibu kepada Chong Sum Yee, 22, wanita Malaysia yang disyaki hilang di Chiang Mai, Thailand tidak mempercayai video anaknya itu mendakwa dirinya selamat dan sihat. Malah, mangsa telah meminta ibunya untuk menarik laporan polis yang sudah dibuat.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes kehilangan wanita itu dan setakat ini beliau belum menerima maklumat perkembangan semasa mengenai kes berkenaan.
Sebagai peringatan, walaupun anda terdesak demi kelangsungan hidup, janganlah bertindak melulu-lulu terus menerima tawaran kerja lumayan yang dilihat menerusi sosial media. Tiada jalan mudah untuk keluar jika anda sudah berada di lokasi terbabit.