Baru-baru ini tular sebuah video yang cukup meruntun hati serta menunjukkan sifat empati warga tempatan yang cukup tinggi dalam membantu individu dalam kesusahan tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Memetik perkongsian FB Minyak Jalanan Hitam Original, hujan lebat yang membasahi bumi Kota Damansara malam itu memaksa seorang mekanik jalanan menutup perniagaannya lebih awal. Namun, di sebalik kedinginan malam yang mencecah pukul 12.30 pagi, satu panggilan telefon merubah segalanya. Ia bukan sekadar panggilan kerja, tetapi sebuah ujian tentang nilai ihsan sesama manusia.
Di hujung talian, suara seorang lelaki berbangsa Cina kedengaran cemas dan hampir berputus asa. Beliau menceritakan nasib malangnya apabila rantai motosikalnya putus dan komponen ‘sprocket’ hadapannya hilang di tengah jalan. Lebih menyedihkan, cubaan beliau meminta bantuan daripada mekanik lain sebelum itu hanya berakhir dengan kekecewaan apabila nombor telefonnya disekat.
“Hai bos, saya dapat nombor abang dari TikTok. Tadi saya ada panggil pomen lain tapi dia tak layan, sampai dia ‘block’ saya. Boleh ke abang tolong saya? Rantai motor saya putus,” rintih lelaki itu dalam talian.
Mekanik ini pada mulanya agak keberatan memandangkan waktu sudah melewati tengah malam. Namun, setelah melihat lokasi dan gambar yang dihantar, hatinya sedikit terusik. Beliau cuba meletakkan harga yang dirasakan berbaloi dengan kepakarannya di waktu begini. “Bos, saya boleh datang tapi mahal sikit. Spoket depan RM25, rantai RM80, dan upah RM40. Boleh ke?” soalnya tegas.
Lelaki itu terdiam sejenak sebelum membalas dengan suara yang cukup rendah, “Kalau RM80 tak dapat ke abang? Saya ada RM80 sahaja sekarang ini.” Walaupun permintaan itu ditolak pada awalnya kerana faktor kepenatan dan waktu yang lewat, lelaki itu akhirnya akur dan tetap menunggu demi mencari jalan pulang.
Setibanya di lokasi, suasana sepi malam itu menjadi saksi pertemuan dua insan berbeza bangsa ini. Sambil tangan ligat membaiki motosikal, mereka sempat berbual seketika. Rupa-rupanya, lelaki tersebut terpaksa meminjam wang daripada rakannya semata-mata untuk memastikan kenderaan itu dapat bergerak semula.
Saat kerja pembaikan selesai, lelaki itu mengeluarkan telefon pintarnya untuk membuat bayaran. Namun, mata mekanik ini sempat menangkap baki wang yang ada di dalam akaun lelaki tersebut. Jumlahnya cuma cukup-cukup makan untuk kelangsungan hidupnya sendiri. Pada saat itulah, ego seorang peniaga luruh dan digantikan dengan sifat belas kasihan yang tinggi.
Tanpa berfikir panjang, mekanik ini memutuskan untuk menggunakan wang ‘infaq’ yang dikumpulnya untuk menampung kos pembaikan tersebut. “Tak apa bos, kerja ini sudah ada orang bayarkan,” mungkin itulah mesej tersirat yang ingin disampaikan lewat tindakannya.
Suasana menjadi pilu apabila lelaki tersebut, yang mungkin tidak menyangka akan menerima ihsan sebegitu rupa di saat dia berada di titik terendah, terus memeluk erat mekanik tersebut. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan mereka waktu itu. Di bahu seorang mekanik jalanan, air mata seorang pelanggan tumpah kerana rasa syukur yang tidak terhingga.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa setiap manusia mempunyai dugaan dan naskah hidup yang berbeza. Di sebalik kedinginan hujan dan gelap malam, kehangatan sifat kemanusiaan tetap mampu menyinari kehidupan seseorang. Semoga semangat dan keikhlasan mekanik ini menjadi inspirasi buat kita semua untuk terus berbuat baik tanpa mengira warna kulit dan latar belakang.