Industri automotif global hari ini dipertontonkan dengan rekaan reka bentuk dan keupayaan kejuruteraan canggih menerusi pengenalan model terbaharu Tesla Roadster.

Kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi ini direka khas untuk mengatasi kebiasaan sebuah kereta pengeluaran menerusi teknologi canggih yang diinspirasikan daripada industri penerbangan angkasa lepas.

Model baharu ini hadir dengan pelbagai ciri canggih seperti sistem aerodinamik aktif, pendorong gas sejuk (cold-gas thrusters), serta sistem penyedut udara berbilang mod (multi-mode suction system) yang berupaya menghasilkan daya mendap (downforce) ekstrem serendah kelajuan sifar.

Menurut Tesla, keupayaan model Roadster baharu ini direka berasaskan prinsip kejuruteraan pemanduan berasaskan teknologi ruang angkasa.

“Roadster direka untuk beroperasi pada tahap yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kereta pengeluaran lain. Ia melangkaui keupayaan varian Plaid untuk membuka dimensi baharu dalam pemanduan, sekali gus mencabar had reka bentuk, kejuruteraan dan fizik,” kata Tesla.

Ciri-Ciri Utama & Teknologi Angkasa

Guna Teknologi Roket SpaceX & Pecut 96KM/J Bawah 1 Saat, Tesla Roadster Kini Boleh Ditempah Di Malaysia

Reka Bentuk Aerodinamik Tersembunyi: Dilengkapi lampu hadapan tersembunyi, lampu belakang panjang penuh, serta reka bentuk aerodinamik rata untuk penampilan yang minimalis dan kemas.

Kemasan Cat ‘Ano White’ & Kaca ‘Gold Glazed’: Menggunakan kemasan cat kalis UV dan tahan kakisan berasaskan teknologi roket angkasa, dipadankan dengan cermin berbilang lapisan, serta kemasan rona emas seperti kaca pelindung topi keledar angkasawan.

Pengurangan Berat Aksesori: Menggabungkan bahan berketahanan tinggi tetapi ringan seperti magnesium, titanium dan gentian karbon (carbon fiber), bersama kedudukan tempat duduk tetap serta kawalan manual bagi mengurangkan jisim keseluruhan kenderaan.

Ruang Dalaman ‘Supersonic’: Kemasan rona Ultrawhite dengan Perincian microsuede gray pada kerusi pemandu. Penggunaan stereng jenis yoke yang direka khusus untuk sistem pemanduan steer-by-wire, dibantu skrin sentuh pusat dan dua skrin maklumat pemanduan di bahagian hadapan.

Tiga Pilihan Varian Ditawarkan

Tesla menawarkan model Roadster ini menerusi tiga varian atau tahap kemasan khusus:

Performance (Tempahan Biasa): Model dua tempat duduk yang sedia untuk kegunaan jalan raya, dilengkapi sistem aerodinamik aktif dan sistem penyedut udara berbilang mod.

Thrust (Keluaran Terhad): Fokus kepada pemanduan litar dengan keupayaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang daripada 1 saat menerusi bantuan cold-gas thrusters di bahagian belakang.

Rocket (Atas Jemputan Khas): Variasi satu tempat duduk khas untuk pemanduan udara yang dilengkapi pendorong gas sejuk di sekeliling badan kenderaan bagi menyokong pergerakan menegak, hadapan dan putaran lateral.

Mengenai keupayaan varian Rocket yang berupaya terapung di udara, jurutera pembangunan Tesla menjelaskan keupayaan sistem kestabilan kenderaan berkenaan.

“Pendorong gas sejuk canggih kami menggunakan penggerak elektrik sepenuhnya untuk memberikan dorongan tepat. Ia melakukan pelarasan mikro dalam tempoh sekelip mata bagi memastikan kenderaan kekal stabil sewaktu berada di udara,” jelaskannya.

Walau bagaimanapun, Tesla menegaskan bahawa varian Rocket tidak diluluskan untuk pemanduan di jalan raya awam dan penawaran ciri-ciri khas ini tertakluk kepada undang-undang serta kelulusan pihak berkuasa di setiap rantau.

Kesemua model Tesla Roadster ini hanya dikeluarkan dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

tesla roadster
Sumber Gambar: Tesla Motors

Tempahan bagi model Tesla Roadster kini telah dibuka menerusi laman web rasmi Tesla Malaysiadi sini.

Bagi yang berminat, proses tempahan Tesla Roadster memerlukan deposit awal sebanyak RM21,000 yang boleh dipulangkan sepenuhnya (fully refundable). Baki bayaran perlu dijelaskan dalam tempoh 10 hari iaitu RM182,000 bagi varian Performance dan RM988,000 bagi varian Thrust.

Ini menjadikan harga keseluruhan untuk varian Performance adalah sebanyak RM203,000, manakala varian Thrust bernilai RM1,009,000.

Pihak Tesla turut menegaskan bahawa tempahan boleh dibatalkan sekiranya baki bayaran berkenaan gagal dijelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Produksi Tesla Roadster dijangka bermula 2028 nanti.