Siapa sangka kucing jalanan dari Malaysia kini dinobatkan sebagai juara dunia selepas menewaskan ribuan pesaing dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway ahad lalu.
Kucing betina yang dikenali sebagai Baby itu merupakan milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus.
Baca Juga:
- Kucing Kena Cukur & ‘Conteng’ Corak Pada Bulu Bikin Netizen Terkejut
- Bakar Anak Kucing Hidup-Hidup, Remaja 13 Tahun Mengaku Bersalah
- Juruvideo UK Dakwa Ada Kedai Tersorok Jual Daging Kucing ‘Fresh’ Di Petaling Street?
Menurut laporan Buletin TV3, Baby dipilih sebagai pemenang selepas berjaya menambat hati para juri dengan kejinakan, ketenangan serta sifat manja ketika penghakiman dibuat dalam pertunjukkan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) tersebut.
Malah, Baby bersaing bersama seekor lagi kucing jantan milik pasangan itu iaitu Miko di pentas akhir bagi penentuan juara mutlak.
Terdapat 1500 ekor kucing menyertai pertunjukkan itu dan Malaysia diwakili oleh 9 ekor kucing yang terdiri empat kucing baka British Short Hair, empat kucing jalanan dan seekor kucing bengal hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM).
Menurut Rooaida, kucingnya itu sudah mendapat pendedahan awal untuk menyertai pertunjukkan tersebut dengan memberi ruang kepada Baby berada di persekitaran yang terbuka.
“Saya dan suami kerap bawa Baby menyertai pertunjukkan kucing dalam negara bagi membiasakan dia dengan khalayak ramai, ia dapat memupuk watak jinak dan manja.
“Baby hanyalah kucing baka biasa, kamil ambil dia dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik sehingga kini,” katanya dipetik dalam Buletin TV3.