Data yang dikumpulkan pada sekitar akhir tahun 2024 menunjukkan bahwa hingga 30 september 2024, Thailand telah menerima lebih dari 3.7 juta pelancong Malaysia.

Ini menjadikan rakyat Malaysia salah satu pelancong utama yang kerap ke Thailand pada saban tahun.

thailand
Sumber Gambar: Inside ASEAN Gaming

Memetik Astro Awani, kerajaan Thailand telah bersetuju pada dasarnya bahawa tempoh tinggal pengecualian visa di negara itu bagi pelancong asing, termasuk rakyat Malaysia, akan dikurangkan separuh.

Dahulu baki 60 hari

Ini bermaksud akan berbaki 30 hari sahaja berbanding sebelumnya yang mencecah 60 hari.

thailand
Sumber Gambar: The Phuket News

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong, menegaskan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk membendung risiko perniagaan haram yang mengeksploitasi skim pengecualian visa.

Eksploitasi skim pengecualian visa

Menurut penerbitan yang berpangkalan di Thailand, Bangkok Post, isu itu juga diakui oleh Kementerian Luar Negeri negara itu dan telah dibincangkan secara meluas di kalangan semua pihak berkepentingan yang berkaitan sejak beberapa minggu lalu.

thailand
Sumber Gambar: Thailand Embassy

Sejak Julai 2024, kerajaan Thailand membenarkan pemegang pasport dari 93 negara memasuki negara itu bagi tujuan pelancongan untuk tempoh tidak melebihi 60 hari, berbanding hanya 57 negara sebelum ini.

Kerajaan telah meluluskan beberapa inisiatif, termasuk pengecualian visa, perluasan senarai negara yang layak mendapat visa semasa ketibaan, dan kategori visa baharu, dengan tujuan untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan.

Sementara itu, Natthriya Thaweevong, setiausaha Sorawong, menyatakan bahawa Jabatan Pelancongan telah diarahkan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan Akta Perniagaan Pelancongan dan Pemandu Pelancong bagi memerangi aktiviti haram yang melibatkan warga asing.

Bukan sekadar itu, mereka turut memilik pasukan khas melibatkan enam agensi termasuk jabatan pelancongan dan polis pelancong turut giat menjalankan siasatan di beberapa kawasan tumpuan seperti Phuket, Chiang Mai, Pattaya, Hua Hin, Koh Samui dan Bangkok.

“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 40 lesen syarikat pelancongan telah dibatalkan selepas mereka didapati menukar pengarah dan struktur pemegang saham secara tidak sah.

“Di Phuket sahaja, 15 syarikat pelancongan dikenakan tindakan termasuk satu kes yang mana seorang ahli lembaga syarikat didaftarkan di bawah lima syarikat berbeza,” katanya.

Menurut laporan Bangkok Post lagi, Persatuan Ejen Pelancongan Thai melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan warga asing yang bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram.

Sementara itu, Persatuan Hotel Thai menyatakan bahawa tempoh bebas visa yang panjang mungkin menyumbang kepada peningkatan penyewaan kondominium secara haram kepada pelancong asing.