Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois tanpa berselindung mengakui risau dengan kepakaran Arsenal dalam memanfaatkan situasi bola mati [Set-Piece].

Pasukan tangga kedua liga domestik masing-masing itu akan bertembung sesama sendiri awal pagi esok dalam menghadapi suku akhir UEFA Champions League (UCL) 2024/25 di Emirates Stadium.

Baca Juga:

Kedua-dua pasukan tidak menikmati aksi terakhir yang baik selepas Arsenal diikat Everton 1-1 manakala Real Madrid pula tewas mengejut kepada pasukan kelompok bawahan, Valencia 1-2.

Malah, Real Madrid yang ketika itu terpaksa menurunkan penjaga gol ketiga, Fran Gonzalez ekoran kecederaan dialami Courtois dan Andriy Lunin dibolosi pada masa kecederaan menerusi situasi sepakan sudut.

Ia merupakan kali ke-10 Real Madrid dibolosi daripada situasi sepakan sudut pada musim ini.

Keadaan itu pastinya menggusarkan Courtois yang melihat Arsenal mempunyai kemampuan hebat dalam mengambil kesempatan daripada situasi bola mati.

Komen Courtois mengenai ‘Set-Piece’ Arsenal

“Kami telah berusaha untuknya [menghalang Arsenal jaringkan gol menerusi situasi bola mati],” ujar Thibaut Courtois menurut sumber laporan Goal.

“Kami tahu bagaimana kami perlu cuba untuk bertahan terhadap mereka. Perkara pertama adalah tidak membenarkan terlalu banyak sepakan sudut.”

“Ia adalah soal tumpuan, pengaktifan – kadang-kadang kualiti lawan juga memainkan peranan.”

“Jika bola sampai dengan sempurna, ia sukar untuk dipertahankan. Tetapi kami bersedia untuk melakukannya, kami percaya apa yang telah kami persiapkan dan akan berfungsi dengan baik untuk kami.”

“Kami mempunyai banyak rasa hormat terhadap Arsenal. Saya mempunyai ramai kawan yang merupakan peminat Arsenal. Saya tahu mereka telah melakukan dengan baik dalam Liga Perdana Inggeris.”

“Mereka adalah pasukan muda, pertahanan yang kukuh, serangan balas dan sepakan percuma,” tambah beliau lagi.

 

Sumber