Ejens, bersiap sedia – Ejen Ali The Movie 2 bakal tiba di pawagam 22 Mei ini! Sebelum anda menyertai misi layar lebar terbaharu Ali.
Inilah masa terbaik untuk anda mengimbas kembali detik penting perjalanan luar biasanya, daripada seorang budak biasa kepada ejen MATA yang memainkan peranan penting untuk mempertahankan bandar futuristik Cyberaya.
Daripada musim 1 hingga musim 3, termasuk filem pertamanya yang penuh aksi, semuanya telah kami himpunkan khas untuk anda.
Tunggu apa lagi? buat anda yang masih belum khatam jalan cerita Ejen Ali setakat ini, dah tiba masa untuk aktifkan semula memori!
Ejen Ali Musim 1
Permulaan Ali Sebagai Ejen MATA

Siapa sangka yang rutin membeli bekal nasi lemak tempoyak udang dalam perjalanan ke sekolah akan menyebabkan Ali terjerumus dalam dunia perisikan! Dalam musim pertama, Ali, seorang pelajar biasa, secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS, alat perisikan canggih milik agensi rahsia MATA yang memberi pemakainya persepsi seperti komputer.
Dia juga dikejutkan dengan realiti baharu apabila perlu menyesuaikan diri sebagai ejen muda dengan pasukan sokongan yang tak dijangka – bapa saudara Ali sendiri, Ejen Bakar, dan rakan sekelasnya, Ejen Alicia.

Ali berdepan ancaman daripada Uno, seorang penjahat yang menyimpan dendam lama dan berhasrat untuk menjatuhkan MATA. Dari sinilah, mata Ali dibuka kepada betapa rumitnya situasi belakang tabir Cyberaya dan agenda tersembunyi pelbagai pihak yang nekad untuk menguasai bandar futuristik itu demi kepentingan mereka sendiri.
Walaupun masih muda, Ali membuktikan keberanian dan kebolehannya, sambil belajar erti tanggungjawab dan pengorbanan sebagai seorang ejen.
Ejen Ali Musim 2
Mengenal Erti Persahabatan di Akademi MATA

Dalam musim kedua, Ali terpilih untuk menyertai Akademi MATA, tempat latihan untuk ejen muda. Di sana, Ali bertemu lebih ramai lagi ejen cilik dengan kebolehan dan bakat tersendiri ketika melalui latihan intensif untuk mengasah kemahiran mereka sebagai ejen perisik.
Namun, perbezaan prestasi yang ketara antara Ali yang masih mentah berbanding rakan ejen muda lain menguji keyakinan dirinya. Sepanjang perjalanan ini, hubungan mereka diuji, mengajar mereka erti kerjasama dan kepercayaan dalam menghadapi tentangan hebat.

Ujian kali ini lebih berat apabila Uno kembali menunjukkan taring disamping pasukan penjahat Numeros untuk menyerang MATA dan merampas IRIS dari Ali.
Ejen Ali The Movie (2019)
Konflik Peribadi yang Menguji Kesetiaan Ali

Ejen Ali: The Movie menyaksikan Ali berdepan dengan konflik peribadi apabila IRIS, peranti canggih yang sebelumnya hanya dikendalikan olehnya, kini diubahsuai menjadi IRIS Neo yang boleh digunakan oleh ejen-ejen lain.
Ali merasakan kedudukannya terancam dan mula meragui peranannya dalam MATA. Pada masa yang sama, seorang individu misteri bernama Niki pula muncul membawa intel yang berkait rapat dengan masa silam Ali.

Niki memperkenalkan Ali ke dunia Pinggiran Cyberaya, di mana wujudnya golongan tersisih yang memerlukan seorang pembela, dan Ali terpanggil untuk berjuang di samping Niki.
Dalam usaha mengejar kebenaran, Ali terpaksa memilih antara kesetiaan kepada MATA atau mempertaruhkan segalanya demi mencari jawapan yang lebih bermakna.
Ejen Ali Musim 3
Ali Berjuang Demi Legasi Ibunya di Arena MATA

Dalam musim ketiga Ejen Ali, Ali berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan MATA selepas dia dilucutkan tugas sebagai pengendali IRIS. Hukuman tersebut adalah akibat tindakan Ali disamping Niki yang menggugat ketenteraman Cyberaya. Dia diberi peluang untuk menyertai pertandingan Arena MATA bersama rakan-rakan ejen muda.
Namun, persaingan semakin sengit apabila empat ejen antarabangsa turut menyertai pertandingan ini. Tanpa pengetahuan mereka, pertandingan tersebut direka khas untuk melantik pengendali baharu IRIS.

Apabila Ali mendapat tahu bahawa ibunya Aliya merupakan salah seorang pemenang pertandingan Arena MATA yang lampau dan juga pencipta IRIS, dia nekad berjuang untuk membuktikan kemampuannya dalam pertandingan ini.
Sementara itu, konflik semakin meruncing apabila Rizwan muncul kembali dan bekerjasama dengan bekas ahli Numeros untuk menghentikan Cinco daripada meneruskan legasi Uno yang berbahaya.
Ejens, kerja kita belum selesai. Sudahkah anda bersedia? Misi anda ke pawagam bermula 22 Mei 2025 ini bersama Ejen Ali The Movie 2!
Tonton Treler Rasmi terbaharu Ejen Ali the Movie 2 di sini:
Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Gunakan #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #SatriaBangkit untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!