Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta yang kini disiasat oleh pihak berkuasa.
Pihaknya menafikan kes tersebut turut melibatkan institusi berkenaan, seperti yang dipersoal oleh sebahagian orang awam.
“Zakat Selangor menegaskan bahawa kes yang dilaporkan melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Zakat Selangor atau pengurusan zakat oleh institusi ini. Memandangkan siasatan masih berjalan, Zakat Selangor tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang yang menyeluruh.
“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan, termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus secara teratur dan terkawal,” petik kenyataan tersebut.
Zakat Selangor turut mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat, serta memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus yang ditetapkan.
Orang awam disarankan untuk merujuk kepada saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta menunaikan zakat menerusi pautan sah di www.zakatselangor.com.my.