Kecoh di media sosial baru-baru ini berkenaan acara RXZ Members 5.0 yang didakwa telah disabotaj oleh pihak berkuasa. Sebahagian hantaran mengaitkan tindakan pihak berkuasa itu sebagai arahan daripada ‘pihak atasan’ memandangkan acara itu diadakan di negeri pembangkang.

Bagaimanapun, polis Terengganu menafikan pelaksanaan Op Khas Motosikal pada Jumaat dan Sabtu lepas mengandungi unsur sabotaj terhadap program himpunan tahunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung dalam tempoh sama di Kuala Nerus.

Baca Juga:

Rxz
Sumber Gambar: Warta Rakyat

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata operasi tersebut dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima aduan dan rungutan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang bukan sahaja memandu secara melulu, malah mengganggu ketenteraman awam.

Beliau menegaskan operasi tersebut tugas rutin yang dijalankan pihak polis bagi memastikan keselamatan orang ramai dan bukannya berunsur politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Selepas mendapat aduan, pihak kami telah menjalankan pemantauan dan memang benar terdapat pelanggaran undang-undang dalam kalangan peserta RXZ Members 5.0 yang menunggang secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain termasuk di kawasan lebuh raya dan jalan negeri.

“Bunyi ekzos yang diubah suai pula sangat kuat hingga mengganggu pesakit di hospital dan masyarakat yang tinggal berdekatan. Jadi ini memang tugas rutin polis…tak ada kena mengena dengan politik atau ada arahan sesiapa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu.

Menurut beliau lagi, pihak polis sentiasa menyokong program atau aktiviti yang memberi impak positif kepada sosioekonomi penduduk selagi ia tidak melanggar undang-undang yang sedia ada.

Namun begitu, polis juga tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan orang awam dan segala tindakan yang diambil terhadap peserta program RXZ Members 5.0 adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Sementara itu, polis juga mengatakan tiada isu dengan penganjur kerana mereka sudahpun mendapat permit yang sah. Malangnya, ada sebahagian segelintir pemilik motosikal yang mengambil kesempatan disebalik progam tersebut untuk melanggar peraturan.