Pada saban hari, Netflix sedia menghidangkan sejumlah rancangan menarik menerusinya. Bagaimanapun, ada sebahagian daripada pengguna yang berkongsi kata laluan bersama kenalan yang menyebabkan pendapatan Netflix turut terjejas.
Oleh sebab itu, syarikat Netflix dilaporkan telah menemui cara untuk mengatasi masalah tersebut dan merancang untuk membuat perubahan bagi perkongsian kata laluan bermula awal tahun 2023 kelak.
Baca Juga:
- Netflix Bakal Kenakan Caj Tambahan Sekitar RM14 Untuk Tambahan Pengguna Baharu
- Netflix Bakal Hasilkan ‘Squid Game’ Sebenar Dengan Hadiah Lumayan RM20 Juta
Menurut sumber, Netflix menyatakan bahawa perkongsian kata laluan akaun antara sebab jumlah pelanggannya semakin berkurangan. Perkara ini sangat merisaukan dan Netflix tidak mahu untuk melakukan sesuatu yang drastik seperti meningkatkan harga langganan kepada pengguna lama yang masih setia.
Menurut syarikat Netflix lagi, hampir 100 juta pengguna Netflix telah menggunakan servis platform tersebut dengan menggunakan kata laluan yang dipinjam daripada keluarga dan rakan. Sudah lama mereka merancang untuk menghentikan kegiatan tersebut dan kini membuat keputusan untuk bermula di Amerika Syarikat pada awal tahun 2023.
Bermula tahun 2023, Netflix merancang untuk meminta pengguna yang berkongsi akaun dengan orang lain di luar isi rumah mereka untuk membayar caj tambahan. Syarikat itu berkata ia akan menguatkuasakan peraturannya berdasarkan alamat IP, ID peranti dan aktiviti akaun.