Kerajaan kini mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini.
Perkara ini sudah diputuskan pada mesyuarat kabinet lalu menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Namun begitu, kerajaan bakal menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih strategik.
“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar). Tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma di musim perayaan.
“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain… akan dibincangkan.
“(Keputusan ini kerana)… kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar… perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya lagi.
Sebelum ini, Datuk Alexander mengumumkan kenderaan persendirian Kelas 1 akan mendapat pengecualian tol di semua lebuh raya sempena perayaan Krismas mulai jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
Difahamkan pengecualian tol itu akan menyebabkan kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM 38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol terbabit.
Hal ini menjadikan malam 24 Disember sebagai pemberian tol percuma terakhir sempena musim perayaan setakat ini.
Berita tiada lagi tol percuma musim perayaan pada tahun ini semestinya mengundang pelbagai reaksi di kalangan pengguna di luar sana.