Seorang lelaki mencuri tumpuan netizen apabila memberitahu dalam satu videonya di mana dia mahu menjual sebuah peti ais lama pada harga RM20,000 pada minggu lalu.
Memetik Harian Metro, niat asal lelaki terbabit yang bernama Mohamad Azli Bidin memuat naik video itu hanya sekadar perkongsian di TikTok sahaja.
Bagaimanapun apabila sudah tertulis rezekinya, siapa sangka ada yang berminat sehingga sanggup membelinya pada harga RM20,000, sudah mengalahkan harga peti ais moden yang jauh lebih canggih.
Tuan badan pun terpaksa melepaskan juga peti ais kesayangannya yang sudah berusia lebih 40 tahun.
Perkongsiannya di TikTok mengenai peti ais itu meraih lebih 1.5 juta tontonan dengan reaksi bercampur baur daripada warganet.
Bercerita lanjut, Mohamad Azli yang juga pembuat jamu herba, pekebun dan usahawan berkata, peti ais model ‘Singer’ itu masih berfungsi serta mempunyai nilai sentimental kerana dia membesar dengannya.
“Usia peti ais itu mencecah 42 tahun, ia hanya ada satu pintu dan tak silap saya, arwah ayah beli pada harga kira-kira RM300.
“Umur saya pun hampir menyamai usia peti ais itu dan ia bukan sekadar barangan lama, tetapi saksi perjuangan serta simbol usaha untuk saya keluar daripada kesusahan.
“Boleh dikatakan, ia satu daripada barangan kesayangan. Saya sekadar berkongsi video hendak jual peti ais itu pada harga RM20,000 sebagai content (perkongsian) untuk mengimbau nostalgia lama, tidak sangka ada yang serius mahu membelinya,” kongsinya lagi.
Menariknya, sejak video yang dimuat naiknya menjadi tular, ramai individu yang menghantar mesej kerana meluahkan rasa minat untuk membeli peti ais vintaj miliknya.
Difahamkan dia telah menjual kepada seorang lelaki dari Melaka yang juga merupakan pengumpul barangan antik kerana dia menjadi individu pertama yang mengirim mesej.
Lebih mengejutkan lagi, lelaki berkenaan sedia persetujui membeli dengan harga yang dinyatakan tanpa sebarang tawar-menawar dan terus mengambil peti ais tersebut pada hari yang sama.
Tambahnya, dia melepaskan peti ais itu bukanlah atas dasar wang sangat tetapi lebih kepada memberi peluang kepada orang lain untuk mencipta pengalaman nilai sentimental bersama peti ais vintaj itu.
Bercakap mengenai reaksi warganet, Mohamad Azli berkata, dia menerima semua pandangan dilontarkan, baik yang positif atau pun negatif dengan hati terbuka.