Beberapa hari ini, tular sebuah video yang memperlihatkan aksi menggerikan sekumpulan penunggang motosikal mengejar pengguna motosikal lain sambil menghayun sabit yang dikaitkan dengan budaya begal di Indonesia.
Video tersebut langsung dikongsikan secara meluas dan mendapat perhatian netizen di Malaysia. Ramai yang meluahkan rasa takut dan tertanya-tanya budaya apakah yang sampai perlu menyakiti orang awam di Indonesia itu.
Kejadian di Indonesia pic.twitter.com/77l0WzDORf
— @ (@anthraxxx781) September 28, 2024
Rakyat Malaysia juga mengecam tindakan jenayah tersebut yang bukan sahaja menganiaya orang awam malah boleh mendatangkan kemalangan jiwa jika tidak bernasib baik.

Untuk makluman, budaya begal ini merujuk kepada praktis kekerasan atau perompakan secara berkumpulan.Di Indonesia, istilah ini lebih dikenal dalam konteks jenayah jalanan, di mana sekumpulan individu menyerang penunggang motosikal untuk merampas barang berharga.
Difahamkan mereka sering menyasarkan penunggang yang berseorangan atau bersama pasangan masing-masing di kawasan sunyi.
Antara lokasi panas dengan aktiviti begal ini termasuklah Jakarta, Bandung, Medan dan beberapa lagi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja dalam mendapatkan barangan berharga mangsa.
Walaupun sudah lama budaya begal ini menapak di sana, rakyatnya mendedahkan pihak berkuasa masih ‘tidur’ dan enggan berbuat apa-apa dalam membendung aktiviti jenayah di negara tersebut.
Oleh kerana aduan dan laporan langsung tidak didengari, netizen di Indonesia kini rela melihat negaranya dimalukan dengan perkongsian video tersebut yang kian popular di negara Malaysia.
“Wahai rakyat Malaysia, tidak mengapa menularkan dan mengejek (tentang video begal). Kami rakyat Indonesia sudah jemu meminta kes ini dibanteras tetapi tidak pernah mengambil serius.
“Mungkin negara ini perlu dimalukan dahulu di mata dunia supaya masalah itu dapat diselesaikan,” luah ciapan dari sebuah akaun dari Indonesia yang tular.
Malah, netizen Indonesia merasakan ini adalah jalan terbaik untuk rintihan didengari oleh pihak berkuasa dan mereka mengambil serius perihal budaya begal yang tidak berkesudahan sejak sekian lama.


Bercakap perihal kemanusiaan, netizen dari Malaysia turut menghujani ciapan tersebut dengan berharap aktiviti jenayah tersebut akan dihapuskan oleh pihak berkuasa dan mendoakan keselamatan mereka yang ada di sana.