Laporan akhir siasatan nahas udara pada 1976 menunjukkan bahawa tiada unsur sabotaj kerana pesawat berfungsi seperti biasa, di mana enjin masih dalam keadaan berkuasa semasa nahas dan kawalan pesawat juga berfungsi dengan baik.

Tambah laporan itu lagi, tiada unsur-unsur kebakar atau letupan dikesan ke atas nahas pesawat yang meragut 11 nyawa, termasuk termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens.

Dapatan yang kini sudah dinyah klasifikasikan telah menyimpulkan bahawa nahas yang dipanggil Double Six itu berlaku kemungkinan besar kerana pesawat tersebut hilang keseimbangan kerana ruang bagasi di bahagian belakang terlebih muatan.

Pesawat turut dilaporkan membawa 147.4 kilogram muatan di bahagian bagasi, melebihi had yang dibenarkan iaitu 89.8 kilogram. Kesan daripada itu telah membawa kepada kegagalan juruterbang untuk mengawal keseimbangan pesawat sehingga menyebabkan kematian 11 nyawa.

Selain itu, laporan nahas udara pada 1976 itu turut menyebut mengenai rekod buruk juruterbang Gandhi Ntahan yang difahamkan mempunyai “sejarah prestasi buruk”. Ia berdasarkan rekod yang ada kerana buku log penerbangan juruterbang didakwa terbakar pada Jun 1969 dan buku log ganti pula telah dicuri pada November 1975, beberapa bulan sebelum nahas berlaku.

Laporan itu menyebut bahawa juruterbang gagal untuk memperincikan muatan pesawat seperti berat pesawat penumpang, kargo dan beberapa rancangan penerbangan. Manakala syarikat penerbangan iaitu Sabah Air pula difahamkan mengambil sikap tidak tegas dalam memastikan prosedur dipatuhi.

Laporan yang sudah dinyah klasifikasi dan boleh dimuat turun di laman rasmi kementerian Pengangkutan ini telah menjawab persoalan lima dekad rakyat Malaysia mengenai apa yang sebenarnya berlaku ke atas pesawat ini.

Pada April lalu, kerajaan bersetuju untuk mendedahkan laporan siasatan persekutuan mengenai pesawat ini setelah mendengar keresahan ahli keluarga mangsa dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun ini.

“Selama ini kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta 88.

“Hari ini jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang menginginkan maklumat terperinci.

“Ianya selari dengan dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.

“Oleh demikian kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat tersebut akan diturun taraf,” kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan MalaysiaKini.