Seorang bekas anggota polis tidak akan meneruskan hasrat memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung dakwaan insiden kekerasan yang berlaku di Hilir Perak, kira-kira 11 tahun lalu.
Peguam yang mewakilinya, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan saman sivil tidak dapat diteruskan kerana terhalang oleh Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.
Peruntukan itu menetapkan tempoh enam tahun untuk memfailkan tindakan berkaitan, sedangkan insiden yang didakwa berlaku pada 19 November 2015.
Bagaimanapun, anak guamnya masih berharap laporan polis yang dibuat pada 2015 dapat diteliti dan disiasat secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara.
Menurut Kamal Hisham, laporan berkenaan merupakan satu-satunya ruang yang masih tersedia untuk anak guamnya mendapatkan keadilan.
Pengadu juga menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Peguam Negara untuk menentukan tindakan sewajarnya.
Pada 28 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lagi bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali sebelum ini mempersoalkan tindakan membangkitkan dakwaan tersebut selepas hampir sedekad berlalu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan itu mempunyai tujuan membentuk persepsi negatif terhadap anak guamnya.
Perkembangan ini menyusul selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu berhubung dakwaan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal Hisham memaklumkan saman sivil yang difailkan oleh dua anggota polis terbabit sudah berjaya diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily pada 11 November lalu.
Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kehadiran pihak-pihak terlibat.