Platform penstriman muzik terkemuka, Tidal mengumumkan langkah paling drastik dalam memerangi lambakan kandungan kecerdasan buatan (AI) dengan mengharamkan serta memadam semua lagu yang dijana sepenuhnya menggunakan teknologi AI bermula 9 Disember ini.

Keputusan tegas itu dibuat susulan peningkatan mendadak penghantaran muzik yang dihasilkan menerusi alat seperti Suno dan Lyria, sekali gus menjejaskan keterlihatan karya asli serta pendapatan artis sebenar di platform berkenaan, petik hantaran X.com @tidal.

Menerusi kemas kini dasar AI terbaharunya, Tidal menegaskan bahawa langkah terdahulu seperti melabelkan lagu AI dan mengeluarkannya daripada agihan royalti tidak lagi memadai untuk membendung masalah tersebut.

Lambakan 27 Juta Lagu AI Tanpa Pendengar

Menurut data yang dikongsikan Tidal, sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan lagu yang dihantar ke platform itu dalam tempoh 90 hari lalu dikesan sebagai hasil janaan AI sepenuhnya. Kemuncak tertinggi direkodkan pada 6 November lalu apabila lebih 60 peratus kandungan yang diterima adalah 100 peratus dijana oleh AI.

Setakat ini, terdapat kira-kira 27 juta lagu berlabel AI dalam katalog Tidal, yang merangkumi 6.3 peratus daripada keseluruhan muzik yang tersedia. Namun, statistik menunjukkan 96 peratus daripada lagu-lagu tersebut langsung tidak menerima sebarang strim daripada pelanggan dalam tempoh tiga bulan terakhir.

Selain membanjiri katalog sehingga menenggelamkan karya artis baharu, Tidal turut berdepan isu penyamaran identiti artis yang semakin serius. Lebih 65,000 lagu telah diturunkan setakat ini kerana disyaki cuba mengelirukan peminat dan mencuri aliran royalti menggunakan nama artis sebenar.

Syarat Baharu Untuk Pengedar Muzik

Menerusi penguatkuasaan baharu kelak, Tidal akan:

1. Menolak dan memadam mana-mana lagu yang dikesan 100 peratus dijana oleh AI.

2. Mengharamkan pihak pengedar daripada menghantar kandungan muzik janaan AI sepenuhnya ke platform mereka.

3. Menolak penghantaran secara automatik sekiranya metadata lagu mencatatkan ia dihasilkan semata-mata menggunakan perisian AI.

Walau bagaimanapun, Tidal memaklumkan bahawa lagu yang hanya menggunakan AI sebagai alat bantuan dalam proses penghasilan—dan bukannya hasil janaan penuh—masih dibenarkan untuk dimuat naik seperti biasa.

Penguatkuasaan dasar baharu ini dijalankan dengan kerjasama teknologi pengesanan AI daripada rakan strategik mereka, Ircam Amplify, dalam usaha memastikan ekosistem penstriman kekal adil serta melindungi keaslian dan mata pencarian penggiat seni.

Sumber