Tiga saintis muda cemerlang mengharumkan nama Malaysia selepas terpilih untuk menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman pada bulan Jun ini.

Memetik kenyataan rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mesyuarat ini akan menghimpunkan Pemenang Anugerah Nobel bersama saintis generasi baharu.

Baca Juga:

Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung bermula pada 29 Jun hingga 4 Julai 2025, yang akan memfokuskan kepada bidang kimia.

Dijangka sekitar 35 Penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara berhimpun di mesyuarat tersebut.

Tiga saintis Malaysia terpilih
Tiga Saintis Muda Malaysia Terpilih Ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74
Sumber Gambar: Facebook MOSTI

ChM Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30, calon PhD dalam Sains Gunaan melalui Penyelidikan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas.

Tiga Saintis Muda Malaysia Terpilih Ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74
Sumber Gambar: Facebook MOSTI

Ts Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia.

Tiga Saintis Muda Malaysia Terpilih Ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74
Sumber Gambar: Facebook MOSTI

ChM Dr Mak Kit Kay, 33, Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada tahun 1951, telah menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dan budaya selama lebih 70 tahun.

“Mesyuarat tahunan ini memberi fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir-gilir dan berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai,” petik kenyataan rasmi MOSTI.

Sementara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, menyifatkan penyertaan ini sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda Malaysia.

“Penyertaan tiga saintis muda ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau adalah bukti keupayaan bakat tempatan kita bersaing di pentas antarabangsa. Ini selaras dengan komitmen MOSTI dalam membina generasi saintis masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat STEM.

“Kami percaya bahawa interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon para penyelidik muda negara, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya

Manakala Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASC menjelaskan, usaha berterusan kami menghantar saintis muda Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau setiap tahun adalah bukti komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.

“Saintis muda kita berpeluang memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat ini, yang mungkin dapat membuka peluang kerjasama bersama saintis di fasiliti bertaraf dunia.

Perlu dinyatakan bahawa kebanyakan saintis-saintis ternama dunia pernah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada peringkat awal kerjaya mereka, termasuk Jaringan Pakar ASM,” terang beliau.

Program berdurasi seminggu ini memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dengan Penerima Hadiah Nobel dalam pelbagai persekitaran rasmi dan tidak rasmi.

Sumber