Apple mengumumkan bahawa Tim Cook bakal memegang jawatan Pengerusi Eksekutif lembaga pengarah Apple, selepas beliau akan melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Manakala John Ternus, Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan, akan menjadi CEO Apple yang seterusnya berkuat kuasa pada 1 September nanti.

Menerusi kenyataan rasmi Apple, Tim Cook akan meneruskan peranannya sebagai CEO sepanjang musim panas ini sambil bekerjasama rapat dengan Ternus bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.

Sebagai pengerusi eksekutif, Tim Cook akan membantu dalam aspek-aspek tertentu syarikat, termasuk berurusan dengan penggubal dasar di seluruh dunia.

“Merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai CEO Apple dan diberikan kepercayaan untuk menerajui syarikat yang luar biasa ini.

“Saya menyayangi Apple dengan sepenuh jiwa raga, dan saya sangat bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan pasukan yang sangat bijak, inovatif, kreatif, dan penyayang yang sentiasa teguh dalam dedikasi mereka untuk memperkayakan kehidupan pelanggan serta mencipta produk dan perkhidmatan terbaik di dunia,” kata Tim Cook.

Di bawah kepimpinan Tim Cook, nilai pasaran Apple telah melonjak daripada kira-kira $350 bilion kepada $4 trilion, mewakili peningkatan lebih 1,000%, manakala hasil pendapatan tahunan pula meningkat hampir empat kali ganda.

Siapa John Ternus?
15 Tahun Terajui Apple, Tim Cook Lepas Jawatan CEO
Sumber Gambar: Apple

Tugas besar untuk meneruskan legasi ini kini digalas oleh John Ternus, seorang tokoh yang amat dihormati dan tidak asing lagi dalam budaya kerja Apple.

Menyertai pasukan reka bentuk produk pada tahun 2001, Ternus telah membuktikan dedikasinya secara konsisten sehingga dilantik sebagai Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan pada tahun 2021.

Beliau merupakan watak penting di sebalik penciptaan pelbagai produk ikonik merentas generasi iPhone, Mac, iPad, dan AirPods, termasuklah pengenalan komputer riba serba baharu, MacBook Neo, dan barisan iPhone 17 terbaharu.

Tim Cook sendiri memuji penggantinya ini dengan kata-kata yang meyakinkan, menyifatkan Ternus sebagai individu istimewa yang memiliki minda seorang jurutera, jiwa seorang inovator, dan hati untuk memimpin dengan penuh integriti dan kehormatan.

“John Ternus mempunyai pemikiran seorang jurutera, jiwa seorang inovator, dan keberanian untuk memimpin dengan integriti serta kehormatan. Beliau adalah seorang yang berwawasan dengan sumbangan kepada Apple selama 25 tahun yang sudah tidak terkira banyaknya, dan tanpa ragu-ragu lagi, beliau adalah individu yang tepat untuk menerajui Apple ke masa hadapan.

“Saya sangat yakin dengan kebolehan serta peribadi beliau, dan saya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengannya dalam peralihan ini serta dalam peranan baharu saya sebagai pengerusi eksekutif,” kata Tim Cook.

Dalam pada itu, Ternus juga akan menyertai lembaga pengarah, yang turut berkuat kuasa pada 1 September 2026.

Sumber