Bagi peminat tegar gajet Apple, ada berita yang mungkin kurang menyenangkan untuk poket anda. Gergasi teknologi tersebut dilaporkan merancang untuk menaikkan harga produk mereka tidak lama lagi.
Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook, dalam satu temu bual eksklusif bersama The Wall Street Journal (WSJ).
Rebutan Cip: Penangan Demam AI
Punca utama di sebalik keputusan ini adalah lonjakan kos bagi komponen memori dan storan. Disebabkan trend kecerdasan buatan (AI) yang semakin mendadak ketika ini, pusat data di seluruh dunia berebut-rebut mendapatkan cip canggih.
Impaknya, syarikat elektronik pengguna seperti Apple terpaksa bersaing sengit untuk mendapatkan bekalan yang semakin terhad, sekali gus melonjakkan harga pasaran komponen tersebut ke paras yang amat tinggi.
“Kenaikan Harga Tidak Dapat Dielakkan”
Sebelum ini, kumpulan yang mewakili pihak pengeluar automotif, peruncit, dan firma elektronik telah pun memberi amaran awal. Mereka menyatakan bahawa permintaan luar biasa terhadap cip memori boleh mencetuskan kenaikan harga barangan pengguna secara drastik di AS, selain mengganggu rantaian bekalan global.
Nampaknya, ramalan itu kini menjadi kenyataan. Cook sendiri mengakui bahawa Apple sudah tidak mampu lagi untuk ‘menyerap’ kos tambahan tersebut demi melindungi pembeli.
“Malangnya, kenaikan harga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kami telah cuba sedaya upaya untuk mengurangkan impak kos besar yang dilepaskan kepada kami, dan kami juga cuba melindungi pelanggan kami sebelum ini. Namun, situasi sekarang sudah tidak lagi mampan,” ujar Tim Cook, CEO Apple
Di Mana Kenaikan Ini Akan Berlaku?
Walaupun Cook mengesahkan berita pelarasan harga ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh rasmi atau jumlah kenaikan tersebut, mahupun model produk spesifik yang akan terkesan.
Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah garis masa isu ini berlaku. Cook dijadualkan bakal menyerahkan jawatan CEO kepada John Ternus pada September ini.
Pada bulan yang sama, Apple juga dilaporkan berada di landasan tepat untuk melancarkan **iPhone boleh lipat pertamanya, di samping barisan iPhone 18 Pro dan Pro Max. Ramai penganalisis menjangka peranti-peranti premium terbaharu inilah yang mungkin akan mula memikul tanda harga yang lebih tinggi.
Isu Pasaran DRAM dan Krisis Bekalan global
Fokus utama yang memeningkan kepala Apple ketika ini adalah pasaran cip DRAM. Menurut Cook, sebahagian besar bekalan cip kini dialihkan oleh pengeluar untuk menghasilkan High-Bandwidth Memory (HBM) sejenis memori berprestasi tinggi yang sangat diperlukan oleh pelayan (server) AI.
“Bekalan menjadi semakin kurang pada waktu pengguna sangat mahukan peranti baharu, dan syarikat pengeluar memori pula mengenakan kenaikan harga yang sangat tinggi.
“Pendek kata, kita amat memerlukan harga dan bekalan memori kembali ke tahap yang munasabah untuk produk pengguna. Itu keutamaan kami.”
Apabila ditanya mengenai alternatif bekalan dari China — yang sememangnya terkenal dengan syarikat memori domestik yang maju tetapi terikat dengan sekatan keselamatan nasional AS — Cook memberikan bayangan yang agak terbuka.
“Semua perkara perlu ada di atas meja (dipertimbangkan). Saya fikir kita perlu melihat kepada semua sumber bekalan yang ada.”
Gunakan Tunai Syarikat, Tapi Bukan Untuk Bina Kilang
Sebagai langkah proaktif, Cook memberi petunjuk bahawa Apple bersedia menggunakan rizab tunai syarikatnya yang amat besar untuk membantu merangsang bekalan memori dalam pasaran.
“Kami sanggup menggunakan kunci kira-kira (balance sheet) kami untuk membantu menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian. Jelas sekali, lebih banyak kapasiti pengeluaran amat diperlukan.”
Bagaimanapun, bagi anda yang terfikir sama ada Apple akan mula membina kilang memori mereka sendiri memandangkan mereka mempunyai kepakaran rekaan silikon yang hebat, Cook menegaskan bahawa perkara itu sama sekali tidak akan berlaku.
Apple tetap dengan pendirian untuk tidak terlibat dalam pembuatan kilang fizikal bagi komponen memori dan storan.
Jadi, bagi sesiapa yang merancang untuk menaik taraf iPhone atau gajet Apple yang lain menjelang akhir tahun ini, mungkin ini masa yang sesuai untuk mula mengetatkan bajet atau menyediakan tabung simpanan ekstra!