Kegagalan pihak pengurusan tertinggi Gombak TOT United mengotakan janji dalam membayar tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan membuatkan keadaan menjadi semakin sulit buat kelab tersebut.

Hal ini kerana perkara itu sudah melibatkan campur tangan peguam bagi mewakili barisan pemain pasukan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang sudah empat bulan tidak menerima gaji.

Baca Juga:

Malah, lebih mendukacitakan apabila ada jurulatih yang tidak merasai nikmat gaji bersama kelab tersebut selama lima hingga enam bulan.

Perkembangan terkini itu disahkan peguam undang-undang sukan, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sumber Buletin TV3.

Menurut Syed Nur Aiman, Gombak TOT United berdepan tunggakan gaji lebih RM330,000 dimana jumlah RM164,000 membabitkan pemain tempatan serta dua pemain import berjumlah berjumlah lebih RM80,000 untuk tunggakan empat bulan.

Manakala, lebih RM92,000 pula untuk jurulatih membabitkan tunggakan selama lima bulan.

“Bukan sahaja tidak mendapat gaji tetapi pasport pemain import pasukan itu turut ditahan dan sehingga kini, dia tidak boleh pulang ke Brazil. Malah, penerbangan pulang juga tidak disediakan.

“Jadi kami sudahpun mengemukakan tuntutan kepada pengurusan Gombak TOT United pada 15 dan 16 Oktober dengan tempoh masa 10 hari diberikan kepada mereka untuk menyelesaikan semua isu terbabit.

“Jika mereka gagal, kita akan membawa kes ini kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk jurulatih dan Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) untuk pemain-pemain tempatan bagi menuntut keseluruhan jumlah tertunggak terbabit termasuk faedah.

“Bagi kes pemain import pula, kita akan panjangkan kepada Tribunal Bolasepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)”,” kata Syed Nur Aiman.

Sebelum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan pengurus pasukan, Haris Fazilal Ahmad pada 24 Julai, Gombak TOT United berjanji dengan penuh komited untuk menyelesaikan isu tersebut.

Namun, selepas membayar sebulan gaji, mereka hanya senyap seribu bahasa membiarkan pemain serta barisan kejurulatihan menamatkan musim tanpa sesi latihan.

Pemain hanya turun beraksi tanpa sebarang sesi latihan kerana tiada wang untuk menyewa gelanggang.

Sumber