Isu ‘cop parkir’ bukanlah satu perkara asing di negara ini. Ramai penduduk kediaman jenis bertingkat sering menghadapi masalah ini, lebih-lebih apabila berhadapan dengan segelintir jiran yang mementingkan diri sendiri.
Dalam satu hantaran Facebook Penang Press, seorang penduduk flat menerima satu nota yang ditinggal pada cermin kereta yang mengarahkannya untuk mengalih kereta sebab penulis nota itu mendakwa dia meletakkan motosikal di situ kerana itu parkir miliknya.
Baca Juga:
- Orang Ramai Sambut Baik Tindakan MPAJ Sita Barangan ‘Penanda Cop Parkir’ Di Kawasan PPR
- Netizen Selar Tindakan Penduduk Flat Selamba Cop Parkir Guna Tong Sampah Dan Motosikal
- ‘Ini Bukan Kondominium!’ – Netizen Kecewa Mentaliti Pentingkan Diri Segelintir Penduduk PPR Cop Parkir
Manakala dalam satu hantaran lain pula, kelihatan beberapa kotak parkir kosong telah diletakkan bekas isi air, tong baldi cat, dan kotak sebagai tanda parkir-parkir itu ‘bertuan’.
Menurut netizen-netizen yang berkongsi pengalaman sendiri, rata-rata budaya ‘cop parkir’ ini dilakukan oleh segelintir penghuni di lantai paling bawah sekali.
Oleh sebab rumah mereka lebih dekat dengan kawasan parkir, mereka akan berbuat apa sahaja untuk memastikan kereta mereka dapat diletakkan di situ seperti meletakkan barang atau membuat struktur tambahan supaya menjadi ‘garaj’ kereta mereka.
Ada penghuni ‘cop parkir’ bertindak lebih dahsyat dengan berbuat khianat seperti meletakkan sampah-sarap, memancitkan tayar, mencalarkan atau menconteng kereta diletakkan pada ruang parkir yang didakwa milik mereka (secara tidak sah).
Tidak kurang juga ada segelintir penghuni rumah kediaman bertingkat yang tinggal beramai-ramai, di mana anak-anak yang sudah besar dan berkenderaan sendiri masih tinggal dengan ibu bapa sehingga menyebabkan ruangan parkir tidak mencukupi.
Dalam pada itu, ada yang berpendapat jika parkir itu berbayar dan bernombor, tidak salah sekiranya pemilik parkir itu meletakkan sesuatu bagi mengelakkan orang luar meletakkan kenderaan.
Namun ia satu kesalahan bagi mereka yang sewenang-wenangnya meletakkan barang untuk ‘cop parkir’ walaupun tempat letak kereta itu terbuka bagi penduduk kediaman setempat.
Budaya cop parking ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.
Individu yang sengaja ‘cop’ parking ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, petik Harian Metro.