Ramadhan tiba lagi.

Ramadhan sinonim dengan Al-Quran.

Biasanya pada bulan ini, ramai dikalangan kita bersungguh-sungguh untuk khatamkan Al-Quran sekurang-kurangnya sekali.

Kami kongsikan tips supaya sempat khatam sekurang-kurangnya sekali pada Ramadhan kali ni.

Jom kita mula dari tip yang pertama!

1. Mulakan dengan Juzuk 1 pada hari pertama Ramadhan

Khatam
Khatam

Ingin khatam sekurang-kurangnya sekali pada ramadhan ini?

Tips pertama kami – bermula seawal mungkin.

Jika anda berniat untuk khatam Al-Quran sekuarang-kurangnya sekali pada Ramadhan kali ni, cadangan kami mula dari hari pertama lagi!

Jika di luar bulan Ramadhan kita sudah membiasakan diri dengan tadarus Al-Quran, seharusnya tidak sukar untuk kita meneruskannya pada bulan Ramadhan.

Seterusnya bagi muslimah, usah lupa buat kira sekali hari-hari yang anda tidak dapat bertadarus kerana haid.

Jika kelaziman anda haid 7 hari, ini bermakna anda hanya mempunyai 22-23 hari untuk bertadarus Al-Quran.

2. Letakkan sasaran yang sesuai dengan diri sendiri

Letakkan sasaran harian. Susun jadual bacaan Al-Quran anda.

Bilakah waktu yang anda dapat meluangkan masa untuk bertadarus membaca Al-Quran?

Sasaran harian tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa waktu mengikut kesesuaian peribadi.

Mungkin ada yang selesa bertadarus selepas setiap kali selesai solat fardhu.

Mungkin ada yang hanya mampu membaca selepas solat terawih.

Ada juga yang mampu habiskan sehingga 2 juzuk setiap kali sesi bacaan.

Setiap orang ada kelapangan waktu tersendiri.

Susun dan letak sasaran bacaan yang sesuai dengan diri sendiri.

3. Sediakan waktu khusus untuk membaca Al-Quran

Indonesian muslims reciting Al Quran after shalat (prayer). Istiqlal Mosque, Central Jakarta, Indonesia.
Indonesian muslims reciting Al Quran after shalat (prayer). Istiqlal Mosque, Central Jakarta, Indonesia.

Tiada masa? Ini masalah biasa ramai orang.

Masa memang tidak akan ada jika kita tidak meluangkan masa.

Atur masa anda. Sebaik-baiknya luangkan masa khusus untuk membaca Al-Quran.

Sediakan waktu khusus untuk bertilawah. Kebiasannya kita memerlukan dalam 30-40 minit untuk mengkhatamkan 1 juzuk Al-Quran.

Ingin khatam lebih daripada sekali pada Ramadhan kali ni? Luangkan masa yang lebih lama dan panjang. Atur masa sebaiknya!

4. Manfaatkan waktu sebaiknya

Sehari kita ada 24 jam. Berapa lama kita sudi luangkan dengan membaca Al-Quran.

Sempena Ramadhan ni, kurangkan berbual perkara yang sia-sia.

Bagi yang sudah biasa bertadarus, biasanya memerlukan 30-40 minit untuk menghabiskan bacaan 1 juzuk Al-Quran.

Jika kita letakkan sasaran untuk habiskan 3 juzuk sehari, maka kita hanya memerlukan 2 jam untuk membaca Al-Quran.

Ya, 2 jam daripada 24 jam yang kita ada dalam sehari.

Cara mudah, waktu yang kita biasa gunakan untuk sarapan dan makan tengahari kan dah boleh digunakan untuk mengaji Al-Quran.

5. Gunakan tenaga sebaiknya

Khatam
Khatam

Membaca Al-Quran merupakan ibadah yang banyak menggunakan mata dan suara.

Mata untuk melihat helaian muka surat Al-Quran dan suara untuk membaca Al-Quran.

Jadi, untuk menjimatkan tenaga tidak perlu bersuara dengan terlampau kuat. Cukup sekadar telinga kita sendiri dapat mendengarnya.

Simpan tenaga supaya kita boleh berterusan membaca Al-Quran dengan istiqamah.

6. Manfaatkan Teknologi

Susah nak baca Al-Quran sebab tertinggal Al-Quran di rumah?

Berhenti memberi alasan!

Install aplikasi Al-Quran di handphone. Supaya kita boleh baca di mana-mana.

Selepas baca, tandakan supaya boleh sambung bacaan di waktu yang seterusnya.

Selain itu, kita juga boleh download mp3 bacaan Al-Quran. Jika badan terlampau penat dan tak larat nak membaca, ambillah masa untuk dengarkan alunan bacaan Al-Quran.

Mudah saja kan?

7. Selalu membawa mashaf Al-Quran

Khatam
Khatam

Biasakan diri untuk selalu membawa mashaf Al-Quran kemana-mana.

Letakkan di dalam kereta. Simpan di pejabat.

Ada kelapangan boleh terus capai dan baca.

Tidak kira Al-Quran besar atau kecil, yang penting biasakan diri untuk simpan dan bawa kemana-mana.

8. Membaca Di Tempat Yang Tenang

Cari tempat tadarus (membaca Al-Quran) yang boleh membuatkan kita duduk lama dan menenangkan.

Perlu bezakan ya, antara tempat yang tenang dan terlampau selesa.

Jika terlampau selesa, takut-takut kita pula jadi mengantuk sewaktu membaca Al-Quran nanti.

Cadangan tempat yang tenang, boleh sediakan satu ruangan khas di pejabat yang kita gunakan khusus untuk bertadarus pada Ramadhan ini.

9. Lawan Rasa Mengantuk

Khatam
Khatam

Perihal biasa, apabila kita membaca Al-Quran terasa mengantuk.

Lawan rasa mengantuk, jangan dilayan dan diikutkan sangat rasa tersebut.

Apabila rasa mengantuk, berhenti seketika. Buat sedikit regangan dan basahkan muka untuk mengembalikan kesegaran badan.

Boleh juga menghilangkan mengantuk dengan menukar posisi bacaan.

Apabila penat atau mengantuk membaca dengan cara duduk, boleh membaca sambil berdiri.

Tetapi jangan bertadarus sambil berbaring pula, takut-takut terus terlelap tanpa sedar!

10. Buat kira-kira mengikut sasaran anda

Seperti yang kami tuliskan di atas, setiap orang berbeza sasaran dan keupayaannya.

Ada yang mahu khatam sekali, mungkin ada yang mahu dua kali atau lebih. Disini kami berikan contoh kira-kira ringkas sebagai panduan.

Untuk Satu Kali Khatam Al-Quran:

1. Solat Subuh 4 halaman
2. Solat Zohor 4 halaman
3. Solat Asar 4 halaman
4. Solat Maghrib 4 halaman
5. Solat Isyak 4 halaman

Untuk Dua Kali Khatam Al-Quran:

1. Solat Subuh 8 halaman
2. Solat Zohor 8 halaman
3. Solat Asar 8 halaman
4. Solat Maghrib 8 halaman
5. Solat Isyak 8 halaman

Untuk Tiga Kali Khatam Al- Quran:

1. Solat Subuh 12 halaman
2. Solat Zohor 12 halaman
3. Solat Asar 12 halaman
4. Solat Maghrib 12 halaman
5. Solat Isyak 12 halaman

Jadi persoalannya di sini, kita ingin khatam berapa kali dalam Ramadhan kali ni?

Penutup

Jika tidak mampu buat semua usah tinggalkan semua. Gunakan kedatangan Ramadhan kali ni sebagai ‘booster’ bagi kita sentiasa mendekati Al-Quran.

Marilah kita sama-sama meraikan hadis Nabi ini;

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari)

Artikel ini disumbangkan oleh Ustaz Syukur Sapuan dari Celik Al-Quran. Layari laman web Celik Al-Quran untuk lebih banyak tip membaca Al-Quran.