Industri muzik K-Pop pada ketika ini tetap berkembang dengan jayanya di mana muncullah penumbuhan sejumlah kumpulan baharu. Bagaimanapun, industri muzik K-Pop juga masih terpalit dengan beberapa kontroversi yang menyentuh sensitivi agama.

Antara isu terbaharu yang tular di media sosial adalah apabila satu reka bentuk album kumpulan K-Pop bernama KINGDOM ini dikatakan menyerupai reka bentuk kulit Al-Quran.

Baca Juga:

Hal ini sekaligus telah menimbulkan kemarahan di samping mendapat kritikan teruk oleh pengguna maya daripada seluruh dunia.

Pada 19 September yang lalu, kumpulan popular ini telah mengumumkan kepada peminat album mereka yang seterusnya adalah History of Kingdom: Part VII. JAHAN.

Namun begitu, peminat kumpulan itu terkejut dengan rekaan album yang boleh dikatakan hampir sama dengan kitab suci Al-Quran. Kehadiran simbol KINGDOM di tengah album sahaja yang membezakan antara Al-Quran dan album itu.

Rata-rata peminat mereka yang beragama Islam tersinggung dengan isu ini kerana hal yang berkaitan dengan agama tidak patut dikaitkan lebih-lebih lagi jika ia hanya boleh menimbulkan kekeliruan.

Disebabkan hal tersebut, ada peminat yang telah menghubungi agensi kumpulan tersebut supaya mereka segera menukar reka bentuk album tersebut.

Sehubungan itu, agensi pengurusan kumpulan KINGDOM iaitu GF Entertaintment telah pun memuat naik satu keterangan maklum balas orang ramai berkenaan kulit album ke-7 KINGDOM yang mempunyai persamaan dengan kitab suci Islam.

Mereka tampil memohon maaf dan kesal dengan kontroversi yang timbul kerana kurang kesedaran dan pengawasan daripada pihak mereka ketika menerbitkan album tersebut.

Oleh itu, mereka telah membuat keputusan untuk menarik balik kesemua 70,000 salinan album sebelum ini dan menerbitkan semula salinan baharu.

Pre-order album ini akan dibuka pada 11 pagi, 26 September dan keluaran rasmi akan diteruskan pada 18 Oktober 2023 seperti dijadualkan. Mereka juga akan memastikan perkara yang sama tidak akan terjadi pada masa akan datang.