Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan seorang kanak-kanak yang cedera melecur terkena percikan arka di pencawang elektrik (PE) di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.

Dalam satu kenyataan dikongsikan, TNB memaklumkan pihaknya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa dan akan memastikan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu mendapat rawatan yang terbaik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Katanya, wakil pengurusan TNB telah pun menyantuni ibu bapa kanak-kanak tersebut di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari semalam.

“Dalam lawatan itu, Head of Zone Asset, TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

“Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi, Unit Rawatan Rapi (ICU), di hospital berkenaan,” petik kenyataan TNB.

Susulan kejadian itu, pihak TNB bekerjasama dengan PDRM dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan. TNB sendiri telah menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan seorang kanak-kanak melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik dipercayai tersentuh perkakasan elektrik selepas memasuki bilik janakuasa elektrik TNB untuk mengambil bola yang terpelanting masuk.

Dalam satu laporan petang semalam, bapa mangsa berkata badan anaknya, Mohd Dawisy Zarif melecur sehingga 50 peratus dan kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.