Seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang bekerja di sektor swasta telah ditahan pada bagi membantu siasatan berhubung satu kes khianat di kaunter bayaran Tol Kajang, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, penahanan tersebut dibuat susulan daripada penularan sebuah video berdurasi 1 minit 26 saat di media sosial yang memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta serta memarahi pemandunya.
Kejadian itu dipercayai telah berlaku pada jam 4.00 petang semalam, petik Harian Metro.
Pihak polis telah menerima laporan rasmi daripada mangsa, iaitu seorang pemandu e-hailing warga emas berumur 65 tahun.
Insiden tersebut telah mengakibatkan kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu oleh mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanapun, punca dan motif sebenar kejadian tersebut masih dalam proses siasatan.
Pihak polis turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa, mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas, serta memandu secara berhemah demi menjamin keselamatan bersama.
Sumber