Pada hari semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan kerajaan kini mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pemberian tol percuma itu memberi bebanan kepada kerajaan, serta tidak mengurangkan kesesakan lalu lintas, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

Pada masa sama, beliau menyatakan kerajaan terpaksa menanggung pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi tol.

Tempoh konsesi tol terpaksa dipanjangkan kerana  pampasan itu tidak diberikan secara tunai.

“Langkah itu bukan saja membebankan kerajaan tetapi juga gagal mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 Tahun 2024, di sini, malam semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan dengan lebih baik tanpa bergantung pada tol percuma.

“Pengguna harus mengubah cara menggunakan jalan raya, terutama ketika musim perayaan,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan pihak kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma ketika musim perayaan — perkara itu membuatkan orang ramai meluahkan rasa kecewa di media sosial dengan berita tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan bakal menggantikan pemberhentian itu dengan pendekatan yang lebih strategik dan bersasar.

Perincian mengenai solusi terbaharu itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sumber