Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara, lapor Berita Harian.

Kes ini melibatkan seorang timbalan pengarah berusia pertengahan 40-an yang disyaki menjadi suspek utama menerima rasuah antara RM100,000 hingga RM500,000 sebulan daripada sindiket rumah urut, pusat hiburan, serta premis yang tidak berlesen.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Sumber menyatakan bahawa selain timbalan pengarah terbabit, dua lagi penjawat awam yang ditahan adalah anggotanya serta seorang anggota agensi penguat kuasa.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan semalam telah direman selama tujuh hari hingga 14 Jun ini, manakala seorang suspek yang juga bekas anggota agensi penguat kuasa ditahan reman selama lima hari hingga 12 Jun 2024.

Majistret Shairil Farhana Ruslan mengeluarkan perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi selepas menerima permohonan yang dibuat SPRM.

Menurut sumber, timbalan pengarah terbabit telah menerima wang rasuah itu sejak beberapa bulan lalu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain yang dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT.

Dalam operasi yang diadakan semalam, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek berkenaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.