Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner menasihati salah seorang penjaga gol pasukan, Rahadiazli Rahalim agar beraksi dengan pasukan lain sekiranya beliau mahu menjadi penjaga gol nombor satu.

Tomislav berkata demikian ketika sidang media sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 Disember ini.

Baca Juga:

Menurut pengendali dari Croatia itu, ketika ini pasukannya mempunyai Suhaimi Husin sebagai penjaga gol nombor satu dan pemain itu berkemungkinan besar akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Untuk (kebaikan) masa depannya, saya fikir dia mesti ke tempat lain untuk menjadi penjaga gol nombor 1. Tetapi buat masa sekarang bagi pasukan saya, Suhaimi adalah penjaga gol utama,” kata Tomislav.

Tomislav turut mengakui Rahadiazli merupakan seorang penjaga gol yang bagus termasuk ketika diturunkan dalam perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada Ahad lalu.

“Dia merupakan penjaga gol yang bagus, ketika menentang Penang dia bermain dengan sangat bagus tetapi satu keputusan (dilakukannya) pada minit ke-96 (menyebabkan) kami hilang dua mata.

“Dia tahu mengenainya, saya tahu mengenainya, semua orang lihatnya (tetapi) saya tak kata apa-apa kepadanya (mengenai kesilapan itu),” tambahnya.

Pada masa yang sama, Tomislav mahu anak buahnya untuk menampilkan prestasi terbaik sekaligus cuba untuk memenangi piala yang kali terakhir dijulang oleh Terengganu pada 2001.

“Untuk menentang pasukan yang lebih baik dari segi kualiti dan kemahiran individu, kita perlu lebih kuat, lebih kompak dan lebih agresif. Kita tidak boleh bermain dengan mudah untuk bola sepak moden.

“Kita tidak memiliki bintang seperti JDT tetapi kita pun ada kualiti tersendiri dan perancangan kita. Kita perlu sentiasa berada pada kelajuan yang tinggi selain memberi cabaran lebih baik,” ujarnya.

Pengendali berusia 57 tahun itu turut mengulas mengenai keadaan semasa padang SNBJ yang ketika ini tidak berada dalam keadaan terbaik namun beliau tidak mahu terlalu memberi perhatian terhadap isu tersebut dan lebih fokus kepada perlawanan yang akan dihadapi pada esok.