Pada 18 Jun 2023, dunia dikejutkan dengan tragedi kapal selam Titan submersible yang telah mengorbankan lima individu, termasuk pengembara terkenal dari Perancis, Paul-Henri Nargeolet.

Menurut CNN, keluarga Nargeolet telah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman bernilai USD50 juta terhadap OceanGate, syarikat yang mengendalikan kapal selam tersebut.

Saman ini mendakwa OceanGate telah secara serius cuai sehingga menyebabkan kematian lima individu.

Saman yang difailkan oleh keluarga Nargeolet mendakwa bahawa OceanGate telah gagal memberi amaran kepada Nargeolet mengenai tahap ketahanan sebenar Titan submersible.

Mereka berkata, jika Nargeolet diberi maklumat yang mencukupi mengenai keadaan kapal selam, beliau tidak akan menyertai ekspedisi tersebut.

Walaupun Nargeolet sebenarnya mungkin meninggal dunia semasa tengah lakukan sesuatu yang beliau suka, namun pihak keluarga tidak boleh abaikan bahawa kematian ini adalah hasil daripada kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.

Detik-Detik Terakhir Sebelum Tragedi

Saman tersebut turut mendedahkan beberapa dakwaan mengejutkan mengenai detik-detik terakhir sebelum Titan submersible mengalami kemalangan.

Menurut laporan, kapal selam itu dilaporkan telah ‘menjatuhkan pemberat’ 90 minit selepas mula menyelam.

Ini menunjukkan bahawa kru di dalam kapal tersebut sedang berusaha untuk menghentikan penyelaman.

Dalam masa sama memberi isyarat bahawa mereka sedang menghadapi masalah yang serius pada masa itu.

Pakar yang terlibat dalam kes ini berpendapat bahawa kru Titan sebenarnya sedar akan situasi bahaya yang mereka hadapi sebelum kapal selam tersebut akhirnya meletup.

Apa yang terjadi adalah kru kapal selam itu mungkin mendengar bunyi retak yang semakin kuat ketika tekanan air meningkat pada badan kapal.

Pada Jun 2023, Pengawal Pantai Amerika Syarikat melaporkan bahawa kapal selam Titan Submersible yang dilaporkan hilang dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.

Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran bangkai Titanic, sekali gus menjadi petunjuk perjalanan Titan berakhir di Laut Atlantik.

Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai tersebut, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

Syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai meninggal dunia.

Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.