Keluarga Iakubanets dari Rusia kini diselubungi duka selepas anak lelaki mereka, Vladimir Iakubanets, yang baru berusia 2 tahun, dilaporkan meninggal dunia akibat disengat ubur-ubur ketika bermandi-manda di Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.
Tragedi percutian ini bertukar mimpi ngeri apabila sengatan haiwan berbisa itu menyebabkan komplikasi serius pada mangsa cilik itu lapor Harian Metro.
Bapa mangsa, Nikita (32), mengesahkan insiden menyayat hati ini. Walaupun telah dikejarkan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Allahyarham Vladimir disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.46 pagi tadi.
“Dalam kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Isteri saya terus mengangkatnya, serahkan kepada saya dan kami bawa dia naik ke pantai.
“Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas. Saya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai.
Nikita dari Khabarovsk, Rusia berkata pasukan perubatan di Langkawi dan Alor Setar sudah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan Vladimir.
Dia juga menjelaskan bahawa mereka tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, cuma berharap kejadian itu menjadi peringatan kepada pengunjung tentang bahaya sengatan ubur-ubur.
“Kami percaya kejadian menimpa Vladimir adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang.
“Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia,” katanya dalam nada sebak.
Isterinya, Olga, 32, berkata mereka berharap pemergian anak mereka itu memberi makna, sebab sejak kecil Vladimir memang dikenali sebagai budak yang suka membantu orang.
“Dia wira kami⦠malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.
Pasangan itu merancang untuk membawa pulang abu Vladimir ke Rusia selepas proses pembakaran mayat selesai.