Benua Amerika Selatan kini semakin mendapat perhatian di kalangan pengembara Malaysia terutama bagi mereka yang gemar travel dalam tempoh yang lama. Ditambah dengan keunikan tersendiri yang ditawarkan di benua ini terutama dari segi budaya, keindahan alam dan persekitaran yang berbeza berbanding di Asia Tenggara.
Hari ini saya ingin kenalkan anda dengan Muhammad Wahi, seorang lagi pengembara Malaysia yang telah menghabiskan masa selama 7 bulan meneroka beberapa negara di Amerika Selatan.
Latar belakang
Nama saya Muhamad Wahi berumur 28 tahun. Sebelum travel ke Amerika Selatan, saya berkerja di dalam bidang engineering. Sebenarnya pekerjaan saya ini mengikut tempoh kontrak yang telah diberi.
Jadi setiap kali bila tamat kontrak dan duit yang dikumpul dah cukup, saya ambil kesempatan untuk travel. Kitaran ini dah berlaku sejak 3 tahun lepas sebab bagi saya travel ialah antara peluang untuk saya melihat secara dekat manusia dan budaya asing di dunia luar.
Berapa lama di Amerika Selatan dan adakah travel solo?
Saya berkelana selama 7 bulan. Oktober 2016 – Mei 2017. Saya beli siap-siap tiket pergi dan balik, tapi tak ada rancangan yang kukuh. Masa di antara waktu itu tiada siapa yang tahu apa akan terjadi, jadi saya tak meletakkan apa-apa harapan untuk sampai ke tahap itu.
Pada mulanya saya pergi seorang diri ke Buenos Aires di Argentina, kerana tempat itu dekat dengan Montevideo, Uruguay. Sebelum beli tiket, saya awal-awal dah tawarkan diri sebagai sukarelawan di EduAction, sebuah badan pendidikan di Amerika Selatan.
Iklan itu saya jumpa di satu forum dalam laman web berkenaan Amerika Selatan. Jujurnya saya hanya melihat itu sebagai satu peluang keemasan untuk belajar Bahasa Sepanyol. Lagipun melalui bahasa ini saya dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan. Saya juga amat meminati bahasa itu.
Saya tiada pengalaman mengajar sebelum ini dan hanya tahu beberapa patah perkataan asas dalam Bahasa Sepanyol. Biasanya mereka memilih sukarelawan yang boleh berbahasa Sepanyol untuk memudahkan pengajaran di dalam kelas tetapi disebabkan saya datang dari negara yang agak asing pada mereka, saya diterima masuk.
Pada awal Januari 2017 seorang rakan saya dari Malaysia datang ke sana. Namanya Zaky. Kami memang sudah merancang untuk travel bersama. Cuma dia tidak ikut saya untuk sesi volunteer. Hanya berjalan.
Kami memulakan perjalanan bersama dari Uruguay ke Argentina melalui jalan darat, merentasi sempadan di bahagian tengah Argentina. Kemudian terus ke Chile, merentasi persisiran pantai Chile ke arah utara menuju Peru.
Kami kemudiannya ke Ecuador dan masuk ke Colombia. Seterusnya ke Costa Rica dan Nicaragua, sebelum patah balik ke Costa Rica, kembali ke Colombia, turun ke Ecuador, Peru (kali ini melalui laluan belah dalam) dan ke Argentina semula untuk mengejar flight pulang ke Malaysia.
Sayang sekali masa tidak mencukupi untuk kami menyusuri negara Bolivia. Satu hari nanti barangkali jika diberikan kesempatan saya akan ke sana lagi.
Kenapa Amerika Selatan? Apa menarik di sana?
Amerika Selatan dipilih kerana saya merasakan ada sesuatu yang unik tentang budaya dan suasana masyarakat di sini yang kita tidak berapa tahu. Selalunya kebanyakan orang akan tertarik untuk berkelana di Eropah atau ke tempat-tempat yang menyediakan landskap menarik.
Selain India, Nepal atau Mongolia contohnya, jadi mengapa tidak ke Amerika Selatan yang penuh misteri ini. Anggapan normal tentang kes penculikan dan dadah yang berlaku di sebahagian tempat membuatkan perasaan untuk tahu apakah ia benar meluap-luap di minda saya?
Saya juga merasakan inilah masanya untuk saya belajar bahasa Sepanyol dengan lebih berkesan, di dorong dengan minat terhadap bahasa ini sejak dari dulu lagi. Pernah satu ketika di bangku sekolah dulu saya pernah membelek satu buku yang berkisar mengenai puak Inca di Peru. Saya tertarik dengan grafik dan gambar yang ditonjolkan, langsung buat saya memasang cita-cita untuk ke sana.
Ada buat persediaan lain selain dari kewangan? Mungkin persediaan mental?
Tiada persediaan rapi dilakukan. Dari segi kewangan saya hanya melangsaikan hutang-hutang sedia ada, dan seperti biasa mengaktifkan kad bank di luar negara. Dari segi mengemas barang terasa amat malas, hinggakan semua persiapan last minute.
Ada juga minta pandangan dari Moji, saudara yang pernah ke sana beberapa tahun lepas. Dari segi route yang hendak diambil itu tiada. Cuma terpaksa memilih sama ada ke bahagian atas atau ke Patagonia. Saya hanya boleh pilih salah satu disebabkan kos ke sana agak mahal dan perjalanan agak jauh. Jika saya pilih hitchike, pasti mengambil masa yang lama.
Apa pandangan Wahi tentang masyarakat dan budaya di sana sebelum travel ke Amerika Selatan?
Sebelum melawat Amerika Selatan seperti kebanyakan orang saya merasakan masyarakat di sana hidup dalam keadaan yang berbeza dari di sini disebabkan faktor muka bumi dan politik yang tidak begitu stabil.
Tanggapan umum saya adalah neutral, saya tidak meletakkan sebarang anggapan ekstrem kerana itu ialah sesuatu yang akan saya dapati di kemudian hari.
Dan apa pula yang dilalui sepanjang di sana?
Amerika Selatan penuh dengan kejutan. Kejutan budaya yang agak baru buat saya. Suasana agak berbeza di bahagian bawah benua ini, yang meliputi Chile, Argentina dan Uruguay. Terdapat pengaruh negara Eropah Barat dalam kehidupan dan sistem sosial mereka.
Makanan yang dihidangkan di restoran pastinya berasaskan roti (pan) dan daging (carne). Di uruguay dan Argentina menu asado (bbq) agak popular dan menjadi aktiviti hujung minggu atau perayaan.
Tetapi semakin kami bergerak ke bahagian benua seperti negara Peru dan Colombia situasi agak berbeza. Nasi disajikan sebagai menu normal di restoran. Banyak variasi pada makanan mereka, dan lebih berperisa serta asli, tidak mendatar seperti di Uruguay, Chile dan Argentina.
Cuaca juga menjadi satu kejutan. Di sini cuaca agak kering dan sejuk terutama di bahagian kawasan yang beraltitud tinggi seperti di Bogota, Huaraz dan Bolivia. Sangkaan saya sebelum datang mungkin cuacanya tidak jauh beza dengan iklim di Asia Tenggara namun ianya meleset.
Saya bernasib baik kerana ketika di hostel, ada seorang traveler lain yang tidak memerlukan lagi pakaian sejuknya kerana dia akan meneruskan perjalanan ke kawasan panas. Pakaian seperti jacket, inner long john dan stokin tebal diberikan kepada saya untuk kegunaan di masa depan.
Bagaimana pula denga pengalaman sebagai sukarelawan selama 2 bulan?
Kerja sebagai sukarelawan EduAction memerlukan penglibatan mereka yang datang dari negara lain untuk menyampaikan modul pembelajaran sedia ada kepada murid-murid di sekitar Montevideo, Uruguay.
Objektif utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran kepada murid-murid di sini mengenai kewujudan masyarakat lain di luar sana, di samping memberi semangat dan motivasi kepada mereka tentang nilai-nilai kehidupan.
Terdapat 5 sekolah berbeza yang perlu kami para sukarelawan sertai, jadi setiap hari (Isnin- Jumaat) kami akan pergi ke sekolah mengikut jadual yang telah ditetapkan dan memberi tazkirah kepada kelas- kelas terpilih. Para pelajar terlibat berumur antara 9 hingga 12 tahun.
Kelas ini dipilih secara rawak, di mana murid-muridnya terdiri daripada keluarga yang bermasalah. Kumpulan kami terdiri daripada empat orang peserta dari Colombia, Brazil, Jerman dan Malaysia. Medium pembelajaran ialah dalam Bahasa Sepanyol, jadi di sepanjang tempoh program saya belajar sedikit demi sedikit bahasa ini dengan bantuan rakan dari Colombia dan Brazil.
Apakah nilai atau perubahan positif yang dirasai selepas menyertai program ini.
Program ini membuka mata dan minda saya mengenai kehidupan masyarakat di sana terutama berinteraksi 2 hala antara kami. Banyak perkara mengenai budaya dan sistem negara Malaysia yang mereka ingin tahu terutama dari sudut pembelajaran.
Saya dapat lihat bagaimana berbezanya pemikiran dan sikap budak berumur 12 tahun di sana berbanding di negara kita. Di samping itu saya dapat bertutur dengan lebih kerap dalam Bahasa Sepanyol sepanjang berada di sini.
Secara tak langsung sepanjang 2 bulan terlibat sebagai sukarelawan, ia banyak membantu memudahkan urusan travel saya selepas program selesai terutama dalam mendapatkan host dan tempaT tinggal. Saya dapat rasakan dengan usaha dan minat semuanya boleh terhasil.
Sepanjang 5 bulan travel selepas selesai program sukarelawan, negara manakah yang telah dikunjungi.
Lokasi yang kami dikunjungi antaranya ialah tempat tumpuan bandar Argentina seperti ke Buenos Aires, Uruguay Colonia yang merupakan tempat klasik yang penuh dengan sejarah, Montevideo yang digelar ibu kota hantu kerana kepadatan penduduk yang agak sedikit dan suasana tenang meskipun berstatus ibu negara, Minas, Paysandu, Chuy, Concepcion del Uruguay), Mendoza, San Esteban, Cordoba.
Di Chile kami ke La Serena, Santiago, dan Chinca Alta.
Di Colombia kami ke Bogota, Medellin, Salento, Valle del Cocora.
Di Costa Rica kami ke Irazu Volkano dan Guanacaste.
Di Nicaragua kami ke Ometepe dan ke Bandar Managua.
Kami juga singgah di Panama City. Dan di Peru kami ke Machu Pichu, Trujillo, Lima, dan Ica.
Faktor pemilihan tempat agak rawak. Kami akan singgah ke daerah/bandar tertentu selepas mendapat kata putus daripada host untuk menginap di kediaman mereka.
Kami hanya tahu mengenai Machu Pichu dan Salar de Uyuni di Bolivia sebelum sampai di sana. Tetapi rupa rupanya banyak lagi tempat menarik yang ada seperti Laguna 69 di Huaraz, Padang Pasir di Ica, gunung berapi volkano di Costa Rica dan Nicaragua, bandar pelabuhan Valparaiso, gunung ganang di Mendoza, Colombia.
Dan di Ecuador rupanya ada tempat buaian popular dan tertinggi di dunia di Baños dan air terjun Pailon Del Diablo.
Ada buat kerja sampingan sepanjang 7 bulan travel di sana?
Volunteer itu sendiri ialah kerja sampingan saya. Walaupun tidak dibayar gaji, tetapi segala perbelanjaan makan dan minum ditanggung. Duit poket yang diperuntukkan ialah sebanyak 200 Uruguay Peso untuk sehari, lebih kurang RM28.
Tempat tinggal di hostel bernama ‘La Tatucera’ disediakan. Di sini lah saya menginap selama 2 bulan lebih. Dobi dan belanja pengangkutan bas awam juga ditanggung. Dari situ saya dapat menjimatkan kos sara hidup dan diut ini turut membantu sedikit dalam baki perjalanan saya.
Sepanjang kami travel juga 90 peratus penginapan kami adalah tinggal di rumah host melalui apps popular Couchsurfing. Ia sangat membantu dari segi kewangan kerana kos hostel terutama di Argentina, Uruguay dan Chile sangat mahal.
Ada juga kawan yang menawarkan tempat tinggal bersama keluarga mereka dan ini sekaligus mempengaruhi laluan yang akan kami terokai di Colombia, Peru, Costa Rica, dan Uruguay. Jikalau tiada sebarang reaksi daripada potensi host, kami pacak khemah di kawasan berumput, di taman, di tepi sungai dan mana-mana tempat yang sesuai.
Ada peristiwa manis yang nak dikongsikan?
Sewaktu saya bermastautin di hostel di Montevideo, saya telah berpeluang berkenalan dengan ramai traveller dari segenap latar belakang , terutama mereka yang datang dari benua Amerika Selatan itu sendiri. Rakan sekerja yang paling rapat dengan saya adalah dari Colombia (Jose) dan Brazil (Talles).
Kami banyak melakukan aktiviti bersama dan saya banyak belajar cara bercakap Sepanyol dari mereka berdua. Persahabatan kami menjadi rapat hari demi hari disebabkan oleh perbezaan bahasa.
Di situ juga saya berjumpa dengan seorang pakcik dari Chile yang boleh berbahasa Indonesia dengan saya. Di usia mudanya dahulu (ketika di zaman tiada FB, internet dan media sosial) dia pernah tinggal bersama keluarga di Indonesia selama hampir 1 tahun lebih.
Dan dia sebenarnya masih merindui kretek Indonesia! Yang paling dikesalkan oleh pakcik ini apabila dia terputus hubungan dengan mereka yang pernah tinggal bersamanya di Indonesia. Amat sedih sekali.
Satu ketika juga sewaktu di Uruguay saya travel bersama seorang warga Brazil ke Argentina. Masing-masing tidak tahu bertutur Bahasa Sepanyol di waktu itu dan masih di dalam proses belajar. Dia tidak faham Inggeris manakala saya pula tidak tak tahu bahasa Portugis.
Tapi kami mempunyai cara unik untuk berkomunikasi meskipun lambat untuk faham. Ditambah dengan pengetahuan kosa kata yang cetek. Secara tak langsung kami saling membantu untuk belajar dan memahami satu bahasa baru yang bukan dari kalangan kami.
Ketika di Huaraz, Peru pula saya berkesempatan bertemu dengan suku kaum Quechua. Mereka adalah penduduk asal di sana dan tinggal di kawasan pergunungan Peru, bahasa mereka dipanggil Quechua.
Kebanyakan orang Quechua boleh berbahasa Sepanyol tetapi kebanyakan orang Sepanyol tidak memahami bahasa Quechua. Ketika pertama kali kami mendengar bahasa ini di kedai runcit kedengaran bahasa ini berbeza daripada Sepanyol. Atas dasar ingin tahu yang kuat saya bertanya kepada mereka dan lantas mereka membawa saya kepada kehidupan masyarakat Quechua.
Salsa di Peru, muzik reggae dari Brazil, minuman tradisional ‘matte’ di Uruguay, hiking ke arah Laguna 69 dan Rainbow Mountain di Peru dan banyak lagi. Semua ini memberi saya pengalaman dan kenangan manis untuk dikenang.
Baca: Lebih Sebulan Belayar Di Sungai Amazon, 9 Tip Daripada Kami
Bagaimana pula peristiwa pahit atau kisah yang memberi kesan kepada hidup Wahi?
Ketika di Argentina kami tinggal di satu perkampungan terpencil yang mana kesemua penduduknya memeluk Islam tapi beraliran sufi. Seramai lebih kurang 10 keluarga kecil penduduk asal Argentina menjalani hidup secara sederhana dan minimalis.
Mereka sangat menghormati guru mereka dan mengamalkan ajaran berdasarkan apa yang telah diajar kepada mereka. Walaupun cara beribadah mereka tampak berbeza sedikit, tetapi mereka melayani kami dengan baik sekali.
Kehidupan di Amerika Selatan tidak boleh dijangka. Rata-rata mereka yang berjumpa dengan kami menasihati kami supaya berhati-hati denga gajet, kamera, telefon, barang-barang peribadi kami dan backpack secara amnya.
Kecurian adalah satu perkara yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja terutamanya kepada pelancong asing seperti kami yang menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak. Pelbagai modus operandi telah didedahkan kepada kami.
Kami juga pernah alami satu peristiwa sewaktu di dalam bas, di mana telefon telah disembunyikan oleh salah seorang penumpang. Masih segar lagi di ingatan kami wajah dia dan isterinya yang berkomplot untuk mencuri smartphone Nexus tersebut.
Setelah puas diasak dengan pertanyaan namun masih tidak mengaku, kami melaporkan kepada konduktor bas. Suasana agak tegang ketika itu. Mujur pihak berkuasa bertindak pantas dengan melakukan body check ke atas setiap individu di dalam bas yang akhirnya membawa kepada penemuan smartphone tersebut.
Smartphone kami dijumpai di celahan tempat duduk, sudah bersalut plastik hitam. Suspek terlepas kerana berjaya keluar dari bas dan kemudiannya melarikan diri dengan cara naik teksi sebaik saja selepas mereka diperiksa.
Kami percaya sebelum ke Amerika Selatan, Wahi pernah travel ke negara lain. Apakah perbezaan yang dirasakan berbanding trip sebelum ini? Mungkin trip sebelum ini hanya sekejap saja atau bagaimana?
Di dalam setiap trip saya akan cuba untuk tinggal bersama rakyat tempatan agar dapat memahami corak kehidupan di sana dan mempelajari sesuatu daripada mereka.
Bezanya pada trip kali ini ialah saya ada lebih banyak peluang untuk menyelami kehidupan masyarakat tempatan dengan cara yang lebih efektif dan bermakna. Pada pengamatan saya jika kita berinteraksi dengan mereka di dalam bahasa ibunda mereka, ia memberi sedikit impak kepada hasil topik yang dibincangkan, dan mengubah persepsi mereka terhadap pelancong.
Mereka akan lebih selesa, sangat gembira dan cuba untuk membantu kami membetulkan kesalahan ayat yang diucapkan. Memetik kepada kata-kata Nelson Mandela “if you talk to a man in a language he understand, that goes to his head. If you talk to him in his language, that goes to his heart”.
Saya sangat bersetuju dengan quote beliau. Secara automatiknya juga kita akan terasa menjadi sebahagian daripada budaya tersebut dan itulah matlamat saya dalam travel.
Perubahan positif selepas trip 7 bulan
Kedengaran cliche tetapi perubahan positif yang dirasai ialah, ia menambah perspektif yang baru dari sisi berlainan pada dunia yang sementara ini. Kesannya secara harfiah menjadikan kami lebih menghormati perbezaan antara satu sama lain.
Adakah travel long term begini sesuai dengan diri Wahi? Sebab saya rasa tak semua orang sesuai dengan kaedah travel begini.
Soalan ini subjektif kepada inidividu. Long term travel ialah sesuatu yang saya suka kerana berada di satu tempat yang asing menjadi kepuasan bagi saya. Keadaan sekeliling menjadi sesuatu yang baru untuk dipelajari setiap hari.
Hari berlalu dan momentum itu dibina sesuai dengan adaptas diri. Bagi saya tiada istilah pengalaman pahit. Yang ada ialah pengalaman yang mengajar kita. Jika short term travel kemungkinan tidak banyak yang dapat dipelajari dari sesuatu tempat, hanya touch and go. Itu bukanlah matlamat saya travel.
Pada saya manusia ialah elemen penting dalam pengembaraan saya, dan ia menjadi tarikan utama melebihi landskap dan fenomena alam. Tidak dapat dinafikan selepas mencapai satu tahap badan dan minda akan penat untuk berpindah randah dan menemukan host yang baru, tetapi ia adalah cabaran dalam kehidupan.
Kekangan masa, dan juga komitmen, semua itu perlulah diambil kira sebelum travel untuk long term. Secara pendeknya, kita akan ‘gain some and lose some’ dalam semua perkara yang kita putuskan. Semua bergantung kepada apa yang kita hendak sebenarnya.
Uniknya Bahasa Sepanyol di Amerika Latin
Seperti kebanyakan tempat juga, terdapat perbezaan dialek dalam pertuturan Bahasa Sepanyol di benua ini. Sebagai contoh di Uruguay dan Argentina mereka lebih bercakap dengan ritma yang laju dan berseloroh.
Perkataan llama akan dibunyikan ‘sha-ma’ walhal dalam kaedah Bahasa Sepanyol yang betul ialah ‘ya-ma’. Ada juga antara rakyat dari negara berbahasa Sepanyol yang mengambil sedikit masa untuk mengadaptasi cara bercakap mereka yang laju itu.
Penggunaan perkataan juga agak berbeza umpamanya jika di Uruguay dan Argentina lebih biasa dengan per-kataan ‘vos’ yang merujuk kepada ‘awak/kau’, tetapi di lain-lain tempat lebih biasa menggunakan ‘tu’ yang membawa sama yng maksud. Begitu juga bahasa portugis di Brazil berbeza dengan Portugis di negara Portugal itu sendiri.
Gerakan tabligh di Amerika Selatan
Gerakan tabligh di Amerika Selatan secara diam bergerak aktif di bawah radar. Kami banyak bertemu dengan jemaah dari Malaysia dan Thailand sewaktu berkelana di Chile an Colombia.
Rata-rata penerimaan masyarakat Amerika Selatan terhadap Islam ialah normal. Mereka seperti tidak tahu langsung mengenai Islam dan tiada prejudis terhadap agama ini. Mereka juga sedia mendengar apa yang diajarkan oleh ajaran ini.
Telah ramai rakyat Colombia yang telah memeluk Islam tetapi mereka tiada individu atau kumpulan untuk memandu dan menunjuk mereka apa amalan yang perlu dilakukan.
Di situlah datangnya kumpulan tabligh untuk membantu mereka mengamalkan ajaran Islam. Kuantiti penduduk Islam sedia ada yang mahir dan arif dalam bidang agama seperti imam-imam dari Mesir dan Afrika Selatan tidak cukup untuk menjaga mereka.
Ditambah dengan lokasi tempat tinggal mereka yang jauh di negeri atau pekan lain, ini menyukarkan lagi proses pembelajaran. Kadangkala kami terfikir kenapa tiada keganasan Daesh atau pertubuhan seangakatan pernah dilaporkan di benua Amerika Selatan ini. Mungkin faktor jarak adalah antara penyumbang ia tidak berlaku di sini.
Baca lagi: 10 Tip Daripada Kami Setelah 5 Bulan Mengembara Di Amerika Selatan