Baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri sesi perkongsian kembara India selama 83 hari dari Abdul Qadir yang dianjurkan oleh Nomad Guru pada 15 mei 2016 lepas.

Sesi perkongsian ini telah diadakan di Jetpack Coworking And Event Spaces di Plaza Damas, Sri Hartamas.

india-1

Oh ya, untuk pengetahuan anda program seperti ini dianjurkan sekali sebulan di mana mereka yang hadir berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan pengembara yang dijemput untuk berkongsi pengalaman travel mereka.

Perkongsian perjalanan selama 83 hari di India kali ini ia lebih kepada ‘Couchsurfing experiences’ dan tips-tips bagaimana untuk survive di India yang jarang saya baca di mana-mana sebelum ini.

Seperti yang anda tahu, Couchsurfing adalah cara terbaik untuk menjimatkan kos penginapan semasa travel. Lebih menarik, anda boleh mengenali budaya negara lain dengan lebih dekat sekaligus mendapat kenalan baru.

Ok sekarang mari lihat 20 tips menarik ini:

A. Pengangkutan

tip-travel-di-india-07
Menunggang unta di Thar desert. Jaisalmer, Rajasthan.
tip-travel-di-india-31
Murid-murid sekolah menaiki bumbung bas untuk ke sekolah. Kasol, Himachal Pradesh.
tip-travel-di-india-18
Hulu sungai Ganges yang masih biru airnya di Rishikesh, Uttarakhand.

1. Di India, lebih ramai orang memilih keretapi untuk travel berbanding kapal terbang, ini kerana harga tiket keretapi jauh lebih murah

2. Disebabkan ramai yang memilih keretapi sebagai pengangkutan utama, biasanya tempahan tiket habis dijual 1 atau 2 bulan lebih awal.

3. Tetapi jangan risau, keretapi di India ada menyediakan beberapa kuota tempat duduk ‘kecemasan’ dan foreign quota untuk pelancong yang memegang passport asing.

4. Kelebihan pemegang passport asing, anda masih boleh membeli tiket walaupun ‘last minute‘. Terdapat beberapa tempat duduk yang telah dihadkan hanya untuk pemegang passport asing sahaja melalui foreign quota ini.

5. Foreign quota tidak boleh dibeli secara online. Anda boleh dapatkan tiket ‘foreign quota‘ di kaunter atau pejabat khas tertentu sahaja. Harus diketahui juga, tidak semua tempat dibandar yang mempunyai kelebihan menjual tiket ‘foreign quota‘ ini.

Catatan Qadir – Memori Keretapi India

Kalau tonton filem Hindi diorang suka sangat buat scene mengejar keretapi yang dah mula bergerak, mungkin sebab adegan begitu pernah dipopularkan oleh filem Dilwale Dulhania Le Jayange dulu?

Namun bila kita kerap travel dengan keretapi di India, kita akan perasan yang orang sana memang sering buat begitu, setiap kali keretapi berhenti penumpang kat dalam akan keluar minum-minum, makan-makan, lepak-lepad kat platform sampailah keretapi dah mula gerak semula barulah terkejar-kejar naik (tapi takdelah dramatik macam dalam filem).

Bagaimanapun, semasa berkelana di sana saya tak pernah menyangka akan ‘terpaksa’ melakukan juga aksi mengejar keretapi bergerak. Masa tu saya menginap di rumah kenalan Couchsurfing di Amer, 13km dari kota Jaipur.

Mulanya memutuskan untuk meninggalkan rumah host selepas maghrib kerana bas tempatan ke stesen keretapi Jaipur hanya beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja.

Selepas jam 8 pilihan public transport yang ada hanyalah autorickshaw yang tambangnya boleh mencapai 300 Rupee berbanding bas yang hanya 15 Rupee.

Bagaimanapun salah seorang member baik host saya tu beria mintak tunggu sebab dia nak hantar ke stesen keretapi dengan motorsikal. Katanya dia juga akan menjemput ‘girlfriend’ dia yang akan sampai ke Jaipur tengah malam nanti.

Maka saya pun setuju saja kerana sepanjang 4 malam tinggal disana, saya kenali dia sebagai seorang yang sangat ramah dan lucu. Sementara saya melawat keluarga yang tinggal di rumah berhampiran, dia menghabiskan waktu bersama tamu CS yang lain di rumah itu.

Sampai waktu saya pulang dia masih berborak, minum-minum dan main kad sehingga saya terpaksa mendesak dia untuk cepat sebab masa tinggal kurang sejam lagi sebelum keretapi saya ke Jaisalmer bertolak.

Sewaktu menolak motorsikal keluar dari pintu pagar rumah dia terhuyung-hayang dan terbalik sama dengan motor. Saya rasa pelik juga, apahal dengan mamat ni?

Kami menuju ke Jaipur dengan motor, 3 orang semotor. Semua tanpa helmet. Masa tu saya dah mula rasa kesal sangat-sangat sebab tak naik bas awal-awal tadi, 13 km terlalu jauh jaraknya untuk tidak berhelmet.

Melalui jalanraya utama pula tu. Dan saya kurang mengerti kenapa orang ketiga tu perlu ikut sekali? Then dia berhenti di stesen minyak, minta saya tolong bayarkan harga isi minyak 200 Rupees.

Saya tak faham kenapa pula saya yang kena bayar tapi sebab dah lewat saya buat saja. Masa nak meninggalkan stesen minyak tu sekali lagi dia terhuyung hayang dan mengaku sedikit mabuk.

Risau sangat lepas dengar dia cakap macam tu, tak boleh nak fikir apa dah. Nak tunggu public transport dah hampir tengah malam sedangkan waktu keretapi bertolak dah sangat-sangat hampir.

Saya hanya berdoa dan berzikir tak putus-putus sepanjang perjalanan dari stesen minyak tu ke stesen keretapi.

Alhamdulillah, kita semua sampai ke stesen dengan selamat, sebaik turun dari motor saya tanyakan dia boleh tak bayarkan balik 200 Rupee tu sebab jumlah tu saya dah boleh pakai untuk bayar hostel satu malam (masa travel solo untuk jangka masa panjang saya jadi agak kedekut sebenarnya, sebab risau over budget).

Dia minta maaf sebab dia tak bawak duit, wallet semua tinggal kat rumah. Tak ada apa yang boleh dilakukan, saya terpaksa berlari ke platform sebab hanya tinggal 3 minit sebelum keretapi bertolak.

Stesen keretapi di kota-kota utama India biasanya sangat besar dengan berpuluh platform menunggu, selalunya akan mengambil sedikit masa utk mencari platform yang tertera pada tiket.

Dengan tempoh 3 minit adalah hampir mustahil, tapi syukurlah tuhan tunjukkan dengan mudah platform yang betul dalam masa singkat itu. Sedang cuba mencari-cari nombor koc, keretapi mula bergerak. Semua koc berdekatan sudah tertutup pintunya.

Maka saya terpaksa berlari mencari pintu yang terbuka, berlari tu (dengan bagpack besar di belakang, beg sandang di depan) adalah melepasi 2-3 koc juga baru nampak pintu yang masih terbuka.

Orang-orang yang lepak di muka pintu, bersedia hulur tangan untuk sambut tangan kita yang sedang mengejar. Cemas sungguh! Sebaik saja berjaya naik terus terbayang scene-scene berlari mengejar keretapi yang biasa ada dalam filem-filem Hindustan. Pheeww!

B. Couchsurfing

tip-travel-di-india-35
Bersama keluarga Kuraj di Leh, Ladakh.
tip-travel-di-india-36
Permandangan dari bumbung rumah tumpangan di Leh, Ladakh.

6. Mencari penginapan melalui Couchsurfing. Pertama sekali, ketika mendaftar akaun Couchsurfing isilah maklumat profil selengkap mungkin. Tidak perlu penerangan yang panjang lebar, tetapi cukuplah sekadar orang kenal siapa kita dan apa yang kita mahu dalam komuniti Couchsurfing.

7. Profil mestilah jelas dengan objektif. Sekiranya anda minat mengembara, tunjuklah minat untuk belajar tentang persekitaran dan budaya orang lain terutama tempat yang ingin dikunjungi. Tulis profil dengan jujur berdasarkan minat sebenar.

8. Sebelum membuat permintaan untuk penginapan di Couchsurfing, sebaiknya baca dan teliti elok-elok profil host. Lihat maklum balas melalui testimoni penginap sebelum ini. Dari situ anda boleh lihat gambaran awal keperibadian host tersebut samada ia sesuai dengan anda atau tidak.

9. Paling penting cari host yang ‘sama kepala’ supaya pengembaraan anda berjalan lancar dan tidak janggal. Lebih elok jika host itu juga mempunyai minat yang sama seperti anda.

10. Sekiranya anda jenis pengembara yang minat terhadap buku, dunia bacaan, filem, sukan atau muzik, carilah persamaan dalam perkara-perkara seperti ini kerana seni dan sukan selalunya mengeratkan manusia walaupun dari latar yang berbeza.

Catatan Kembara Qadir Di Jaipur

Mungkin antara kenangan yang kuat berbekas semasa tinggal 4 hari di Amer, Jaipur ialah apabila dijemput untuk menyertai makan malam oleh keluarga miskin yang gembira ini.

Mereka bukanlah dari kalangan yang melarat tanpa rumah, tetapi bukanlah orang-orang yang senang juga. Mereka tinggal di bangunan lot kedai berkembar yang separa siap. Tanpa pintu, lot sebelah kanan jadi tempat tidur, ruang bekerja dan lot sebelah kiri juga jadi tempat tidur dan dapur.

Moona yang fasih berbahasa Inggeris dengan ramahnya mengajak bertandang untuk minum chai (teh berempah) ketika lalu depan rumahnya di pinggiran desa.

Malam itu hampir semua ahli keluarga ada di rumah, kedua ibu-bapa mertuanya, abang iparnya, 2 adik ipar perempuan dan anaknya yang berusia setahun.

Suaminya berkerja jauh di bahagian barat Rajasthan, hanya sekali sebulan pulang ke rumah. Kemudian, dia kata “kamu sudah masuk rumah ni, kamu harus makan bersama kami”.

Lalu si ibu mertua terus menyediakan capati sementara sayuran sedang dimasak di dapur simple mereka. Kami gembira kalau ada tetamu asing sudi masuk ke rumah kami”.

Kata-katanya mengingatkan saya pada apa yang pernah dibaca dari buku ‘Maximum City: Bombay Lost & Found‘ suatu ketika dahulu; di dalam kepercayaan Hindu, tetamu adalah dihantar oleh Tuhan, oleh itu mereka sangat memuliakan tetamu.

Kemudian, makan malam dihidangkan, sangat simple. Hanya 2 keping chapati dan sayuran. Rasa chapati mungkin tidak mencapai standard namun kemurahan hati keluarga ini mengatasi segalanya.

Pengalaman ini menjadi penutup yang baik untuk diari Jaipur, pada malam yang sama saya meninggalkan Jaipur untuk ke Jaisalmer, 600km ke arah barat Rajasthan.

C. Makanan

tip-travel-di-india-40
Mi goreng tangan di Kargil, Jammu & Kashmir.
tip-travel-di-india-46
Menikmati hidangan kashmiri wazwan ketika majlis perkahwinan Kashmir. Zungal Pora, Jammu & Kashmir.

11. Makanan di India tidak susah, majoriti di India adalah Vegetarian. Kalau di bandar besar pula ada kominiti muslim yang besar.

12. Soal kebersihan, utamakan makan di restoran. Walaupun restoran kecil, kita boleh lihat tahap kawalan kebersihan. Warung atau restoran yang dapurnya didepan lebih mudah untuk melihat tahap kebersihan.

13. Makanan panas atau yang dimasak selalunya dalam keadaan baik. Elak dari makan buah yang direnjis air terutama yang sudah siap dipotong kerana tahap kebersihan air di India sebenarnya tidak begitu baik.

14. Langkah keselamatan, minum air mineral. Biasanya air mineral ada dijual dimana-mana tapi pastikan masih dalam keadaan elok tidak terbuka. Pastikan ia masih ‘safely sealed’. Ada juga kes penipuan di mana penjual menjual air mineral yang penutupnya seperti sudah dibuka. Hati-hati.

15. Kalau rasa nak minum air manis, boleh beli air mangga jenama Maaza atau susu mentega jenama Amul. Sedap pun sedap, tapi pastikan lihat tarikh luput terlebih dahulu.

16. Boleh juga minum teh chai, teh panas yang dicampur gula dan susu. Tetapi baru-baru ini ada juga kes penipuan dalam teh chai dimana penjual tidak menggunakan susu sebaliknya menggunakan bahan kimia.
Langkah selamat boleh minum teh chai ini di restoran, cuba elakkan dari membeli di kedai-kedai tepi jalan.

D. Penipuan

tip-travel-di-india-06
Bilik penginapan ketika couchsurfing di Amer, Jaipur.
tip-travel-di-india-03
Mencuci baji di sungai Ganges. Varanasi, Uttar Pradesh.
tip-travel-di-india-11
Wanita Kutcch menari tarian tradisional di pesta tahunan desa Dhrang. Kutcch, Gujarat.

17. Hati-hati dengan penipuan biasanya dalam bab harga. Anda boleh survey dahulu harga di Tripadvisor atau bertanya terus kepada orang-orang tempatan untuk tahu kadar harga yang berpatutan.

18. Pastikan baca tentang teknik penipuan yang lazim berlaku di satu tempat, terutama tempat yang ingin dikunjungi. Sentiasa cara maklumat di internet.

19. Jangan biarkan orang datang memilih kita, tapi biar kita yang memilih orang untuk berurusan. Orang yang tiba-tiba muncul menawarkan sesuatu mungkin mempunyai agenda. Ikutlah gerak hati.

20. India adalah tempat yang selamat, masalah risiko dirompak, mencuri sangat jarang berlaku cuma anda perlu berhati-hati dengan sindiket penipuan. Apa pun pastikan anda menjaga barang berharga dengan cermat terutama passport.

Jika ada perkara yang berlaku di luar kebiasaan, sila hati-hati. Lebih baik supaya tidak ambil peduli contohnya seperti ada yang cuba untuk melihat tiket, atau berkata seperti “ lihat tiket anda, nampak seperti tiket palsu”. Endahkan sahaja jika perkara seperti ini berlaku.

Banyak lagi tips-tips menarik di India yang dikongsikan saudara Abdul Qadir, anda boleh ikuti perkembangan beliau di Instagram aqhb79. Di sana juga anda boleh lihat banyak gambar-gambar menarik sepanjang pengembaraan beliau di India.

Berkenaan couchsurfing pula, anda boleh dapatkan info lengkap di  laman web www.couchsurfing.com.

Catatan Qadir Di Lembah Parvati

Sepanjang 2 bulan berkelana di utara India, langsung tak tahu-menahu tentang pekan kecil Kasol dan Tosh Village sehinggalah tiba di Himachal Pradesh – antara negeri/wilayah utara India yang berada dalam kawasan pergunungan Himalaya.

Seorang kenalan tempatan, Honey Preet dari Chandigarh mencadangkan saya mengunjungi Kasol dan tinggal di homestay kawannya nama Arvind.

Hampir-hampir saja membatalkan rancangan sebab terlepas bas akhir jam 7 pm yang masuk ke Parvati Valley, tetapi malam itu setelah berbual dengan Arvind dengan phone, bersemangat semula kerana Arvind sangat teruja nak bertemu lagi dengan orang Malaysia.

Tahun lalu (2012) ada seorang backpackers dari Penang tinggal di penginapan dia selama 4 bulan dan mereka telah jadi kawan baik. Malam itu perkara kurang menyenangkan berlaku ketika bermalam di dorm murah 100 rupee (RM5) bila locker tempat simpan my rucksack yang sudah berkunci terbuka kuncinya setelah pulang dari makan malam.

Tapi mujur tiada apa dalam beg yang hilang/terusik (moral of the story, jangan sesekali pakai kunci yang diorang bagi kalau nak tidur di dorm). Mujur juga kenal Honey (nama dia memang Honey T_T) dari Chandigarh yang ada ramai contact seluruh Himachal termasuk polis dan penguasa, rasa selamat sikit.

Saya pilih dorm malam tu sebab hanya nak tidur beberapa jam saja, esok pagi awal-awal lagi nak naik bas ke Kasol, so no point stay bilik yang lebih mahal.

Esoknya, meninggalkan Kullu selepas subuh, bertukar bas di Bhunter dan tiba di Kasol setelah hampir 2 jam perjalanan. Niat asal mahu stay hanya semalam dipanjangkan kepada 2 malam kerana hari pertama tiba saya tak buat apa-apa aktiviti sangat kecuali berjalan-jalan sepanjang sungai Parvati dan ambik gambar gunung dari jambatan gantung.

Hari kedua, atas cadangan Arvind saya menuju ke Barsheni yang terletak 40 minit perjalanan bas ke hulu sungai Parvati, untuk day trip ke Tosh Village, sebuah desa terpencil yang terletak di lereng Himalaya.

Semasa melakukan trekking pendek yang makan masa sekitar setengah jam itu, terserempak dengan seorang guru wanita dan 3 anak muridnya. Setiap pagi mereka berjalan turun sejauh 3 kilometer dari Tosh Village untuk ke sekolah dan berjalan naik untuk pulang ke rumah pada tengah harinya.

Ketika berjalan sama menuju Tosh, si guru bercerita yang sekolahnya hanya ada 2 guru dan mereka melakukan hampir semua kerja selain mengajar termasuk tugasan admin.

Di musim dingin, kadang-kadang salji akan turun sehingga paras dada orang dewasa, masa tu sekolah pun akan tutup. Kemudian si guru berhenti berjalan memandang ke arah lembah dan berkata “mountain is beautiful“.

Saya pun turut pandang arah yang sama dan…subhanallah! indahnya permandangan tak terucap dengan kata-kata. Lembah menghijau diwarnai kuning dari bunga-bunga mustard.

Di bawah sana mengalir sungai Parvati, latar belakangnya puncak-puncak Himalaya yang masih lebat bersalji. Tengahari itu dihabiskan di cafe milik suami guru tersebut, rumah kecil di tepi padang bunga mustard yang mengadap lembah, sebelum kembali ke Kasol sebelah petangnya.

tip-travel-di-india-43
Terperangkap dalam traffic jam di lembah bersalji. Jammu & Kashmir.
tip-travel-di-india-13
Di puncak Kalo Dungar sambil melihat kepada sempadan salt desert White Rann of Kutcch. Kutcch, Gujarat.

Berkelana ke India boleh jadi sangat rumit, tetapi dalam masa yang sama juga boleh jadi sangat menakjubkan. Mereka yang travel ke India boleh jadi suka atau benci, atau kedua-duanya sekali.

Pengalaman ini patut dicuba walaupun sekali. India menawarkan banyak
destinasi bersejarah yang tersenarai dalam warisan dunia UNESCO.

Destinasi alam semula jadi yang luar biasa seperti daerah gunung dan lembah Himalaya, padang pasir Rajasthan atau gurun garam Gujara. Pilih Lokasi yang menepati minat anda dan alamai pengelaman Journey India anda sendiri. – Abdul Qadir.

Fuh, memang sangat terinspirasi! Siapa pula agaknya pengembara jemputan Nomad Guru bagi sesi yang akan datang? Buat masa ini belum diumumkan lagi. Mungkin atas faktor Ramadhan yang bakal menjelma dalam masa beberapa hari lagi. Sama-sama kita nantikan pengumuman mereka nanti.

Baca lagi: 21 Perkara Menarik Belakang Tabir Dikongsikan Oleh Zahariz Khuzaimah Di RLT Nomad Guru