Trent John Alexander-Arnold tanpa berselindung mengakui kesediaannya untuk menyarung jersi kelab gergasi dunia, Real Madrid.

Perkembangan terkini itu disahkan sumber media terkenal Sepanyol, Marca yang mendedahkan bek kanan itu sudah menyatakan hasratnya kepada pengurusan tertinggi Liverpool.

Baca Juga:

Sudah sembilan musim bersama Liverpool, Alexander-Arnold telah mengecapi pelbagai kejuaraan utama seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018/19, Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20, Piala Dunia Kelab FIFA 2019 dan Piala FA 2021/22.

Malah ketika ini juga Liverpool cemerlang dengan kelebihan enam mata dihadapan Arsenal untuk berada di tangga teratas EPL 2024/25.

Namun, perkara tersebut dilihat tidak begitu mempengaruhi keputusan pemain skuad kebangsaan England itu untuk mencuba haluan baharu ke Sepanyol.

Beliau dikatakan tidak berhasrat untuk kekal di Anfield dan sehingga ke hari ini masih belum memperbaharui kontrak lanjutan.

Ini bermakna sekiranya benar perpindahan ke Real Madrid itu berlaku pada jendela perpindahan musim panas seterusnya, Trent Alexander-Arnold akan berhijrah secara percuma.

Keadaan yang serupa ketika Real Madrid mendapatkan khidmat bintang Perancis, Kylian Mbappe pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Kehadiran David Alaba dan Antonio Rudiger ke Bernabeu juga dengan kaedah yang sama dimana kedua-dua pemain tidak melanjutkan kontrak bersama kelab lama hingga menjadikan mereka ejen bebas.

Pada usia 26 tahun, Alexander-Arnold telah membuat 332 penampilan bersama Liverpool dalam semua pertandingan disertai.

Daripada 332 perlawanan tersebut, beliau berjaya menjaringkan 19 gol dan mencipta 85 bantuan jaringan.

Sumber