Pundit kelahiran Scotland, Ally McCoist berpendapat Trent Alexander-Arnold tidak akan berada sebaris dengan legenda Liverpool seperti Steven Gerard dan Kenny Daglish sekiranya beliau menyertai Real Madrid.
Berita pemergian Alexander-Arnold ke Real Madrid bagaimanapun bukanlah perkara asing kerana wartawan terkenal dunia, Fabrizio Romano sudah mengesahkan perkara tersebut.
Baca Juga:
- Trent Alexander-Arnold Puji Gol Sepakan Percuma Juan Muniz
- Trent Alexander-Arnold Nyatakan Hasrat Sertai Real Madrid
- Trent Alexander Arnold Semakin Hampir Sertai Real Madrid
Malah, para penyokong Liverpool juga seakan-akan sudah dapat menerima hakikat bahawa The Reds bakal kehilangan produk asal akademi mereka itu.
Daripada akademi ke skuad utama, Alexander-Arnold tidak menoleh ke belakang untuk menjadi nadi kekuatan buat Liverpool sejak lapan tahun setengah ini.
Namun, jodoh mereka kelihatan sudah hampir ke penghujung dengan Alexander-Arnold dan Liverpool masih tidak dapat memeterai perjanjian baharu berkenaan kontrak lanjutan beliau.
Keadaan yang menyebabkan Real Madrid menjadi pilihan utama bek kanan itu untuk mengembangkan lagi kariernya pada usia 26 tahun.
Susulan dengan itu, Ally melihat Trent Alexander-Arnold tidak akan begitu diingati oleh peminat Liverpool sekiranya memilih untuk meninggalkan pasukan.
“Apabila saya fikir tentang dua pemain Liverpool paling lagenda, yang terlintas di fikiran ialah Steven Gerrard dan Kenny Dalglish.”
“Kedua-duanya akan kekal dalam lipatan sejarah Liverpool, walaupun Dalglish pernah bermain untuk kelab lain terlebih dahulu ketika bersama Celtic,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
“Kalau Trent Alexander-Arnold berpindah ke Real Madrid, itu tidak semestinya bermaksud dia tidak akan dikenang sebagai legenda Liverpool.”
“Tapi dia pasti tidak akan diletakkan sebaris dengan nama-nama seperti Gerrard dan Dalglish, walaupun Gerrard sendiri tidak pernah memenangi kejuaraan liga di Anfield.”