Presiden Donald Trump mengumumkan pada petang Selasa bahawa Amerika Syarikat telah mencapai perjanjian gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran sebelum tempoh akhir yang semakin suntuk, sekali gus mengelakkan apa yang sebelum ini disifatkan oleh presiden sebagai serangan yang boleh menyebabkan kematian ‘seluruh tamadun’ Iran.

“Sebab kami berbuat demikian adalah kerana kita telah pun memenuhi serta melepasi semua objektif Ketenteraan, dan kini berada di fasa yang sangat maju menuju Perjanjian muktamad mengenai KEAMANAN jangka panjang dengan Iran, serta KEAMANAN di Timur Tengah.

Baca Juga:

“Kami telah menerima cadangan 10 perkara daripada Iran, dan percaya ia adalah asas yang praktikal untuk dirundingkan,” tulis Trump di Truth Social.

Trump yang menyatakan bahawa gencatan senjata itu tertakluk kepada syarat Iran membuka Selat Hormuz menambah bahawa hampir kesemua pelbagai perkara yang menjadi pertikaian sebelum ini telah dipersetujui antara Amerika Syarikat dan Iran.

Namun beliau berkata tempoh gencatan senjata selama dua minggu itu akan membolehkan Perjanjian tersebut dimuktamadkan dan disempurnakan.

Kesepakatan ini dicapai hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menggesa Trump melalui satu hantaran di X.com supaya melanjutkan tempoh akhir bagi Iran selama dua minggu.

Sharif menulis bahawa usaha diplomatik untuk penyelesaian aman bagi perang yang sedang berlarutan di Timur Tengah sedang berkembang secara stabil, teguh dan kuat dengan potensi untuk membawa kepada keputusan yang substantif dalam masa terdekat.

Sejurus selepas pengumuman Trump, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, berkata dalam satu kenyataan bahawa Iran akan menghentikan operasi pertahanannya ‘jika serangan terhadap Iran dihentikan’.

“Bagi tempoh dua minggu, laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan melalui penyelarasan dengan Angkatan Tentera Iran dan dengan pertimbangan sewajarnya terhadap had teknikal,” tambahnya lagi.