Manchester United kini berdepan tuduhan serius selepas bekas pemain mereka, Axel Tuanzebe, memfailkan saman bernilai £1 juta ke atas mereka.

Pemain pertahanan berusia 27 tahun itu mendakwa United telah merosakkan karier dan sumber pendapatannya kerana gagal merawat kecederaan tulang belakang ‘lower spine’ dengan segera dan sewajarnya.

Menurut laporan Sky News, Tuanzebe menuduh kelab lamanya itu bersikap ‘cuai secara klinikal’, yang menyebabkan kecederaannya menjadi kronik dan menjejaskan potensi serta pendapatan sepanjang kariernya.

Dalam kenyataan samannya: “Pelan rawatan yang sesuai, berdasarkan keseimbangan kebarangkalian, akan membolehkan plaintif mengelak kesakitan dan ketidakselesaan yang dinyatakan di bawah serta membolehkannya terus bermain bola sepak profesional di tahap elit tanpa sebarang sekatan.”

Walaupun kini masih bermain bersama Burnley di Liga Perdana Inggeris, Tuanzebe berkata dia tidak lagi mampu bermain tanpa sekatan atau halangan. Di mana dia perlu mengikuti garis panduan ketat untuk beraksi.

Kesalahan itu diletakkan di bahu Manchester United, kerana menurut Tuanzebe kelab itu menjadi punca dia gagal mencapai tahap tertinggi dalam kariernya.

Daripada graduan akademi ke tuntutan mahkamah

Tuanzebe merupakan produk akademi Manchester United dan bersama kelab itu selama 17 tahun sebelum meninggalkan kelab pada tahun 2023.

Dia antara pemain yang dianggap graduan cemerlang kelab itu.

Namun di sebalik perjalanan panjang itu, dia kini menuntut keadilan selepas apa yang disifatkannya sebagai “pengabaian perubatan” oleh pasukan perubatan United.

Kes tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi London, dengan tuntutan pampasan melebihi £1,000,000. Manchester United bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.

Kecederaan kecil yang menjadi derita berpanjangan

Kisah malang Tuanzebe bermula pada Disember 2019, ketika dia mengalami kecederaan hamstring dalam aksi Piala Liga menentang Colchester United.

Imbasan MRI yang dijalankan pada awal 2020 menunjukkan kemungkinan wujud keretakan kecil (pars fracture) di bahagian belakang tulang belakang.

Menurut doktor,  ianya kecederaan biasa dialami  atlet kerana pergerakan berulang yang kerap. Dan jika ianya dirawat dengan sebaiknya dan rehat secukupnya diberikan kepada atlet, masalah itu  boleh dibendung daripada menjadi parah atau kronik.

Namun menurut tuntutan saman itu, United gagal menyiasat dengan menyeluruh, serta gagal merehatkannya secukupnya. United malah gagal merujuknya kepada pakar tulang belakang sukan.

Akibat kecuaian itu, kecederaan tersebut semakin parah sehingga menyebabkan keretakan kronik dua hala (bilateral grade 4 fractures) pada tahun 2022 — satu tahap yang sangat serius bagi atlet profesional.

“Defendan (Manchester United) telah cuai kerana gagal menyiasat sepenuhnya keretakan tersebut, gagal memberikan rehat yang mencukupi, dan gagal merujuk plaintif kepada pakar bedah tulang belakang sukan.”

Dibenarkan bermain terlalu awal

Menurut dokumen mahkamah, Tuanzebe sepatutnya direhatkan sekurang-kurangnya 12 minggu pada Januari 2020, namun dia diarahkan kembali beraksi seawal Mac 2020 dalam saingan Premier League 2.

Beberapa bulan kemudian, dia kembali bersama skuad utama United dan beraksi dalam Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada Oktober 2020.

Ketika itu, pengurus Ole Gunnar Solskjaer memuji beliau sebagai: “Seorang pertahanan yang hebat dan pemimpin sejati, memiliki watak dan sikap yang sesuai untuk pemain Manchester United.”

Ketika itu peminat United menganggap Tuanzebe sebagai calon kapten kelab di masa hadapan.

Namun di sebalik pujian itu, kecederaan yang tidak pulih sepenuhnya terus menghantui karier Tuanzebe.

Jadi kecederaan berulang

Pada Disember 2020, Tuanzebe sekali lagi mengadu sakit di bahagian hamstring selepas sesi latihan, namun pemeriksaan tulang belakang tidak dijalankan semula.

Saman itu menegaskan: “Dengan membenarkan plaintif untuk terus berlatih dan bermain seperti biasa dari Februari hingga Mac 2020 dan selepas itu, dia mengalami simptom yang lebih teruk daripada jika diagnosis dan rawatan dilakukan dengan betul.

Lebih mengejutkan, menurut peguamnya, Tuanzebe hanya menerima pelan rawatan yang betul pada April 2023, iaitu hampir tiga tahun selepas kecederaan asal berlaku.

Episod di Napoli

Ketika dipinjamkan ke Napoli pada Januari 2022, kecederaan Tuanzebe kembali menghantui. Dia mengalami kesakitan melampau di bahagian belakang bawah sehingga sukar bangun dari katil dan masuk ke dalam kereta.

Namun ketika itu, Dr Steve McNally, ketua doktor pasukan United, didakwa tidak menunjukkan keprihatinan sewajarnya dan berkata tiada keperluan mendesak untuk pemeriksaan lanjut di England.

Dr McNally juga dikatakan memberitahu Tuanzebe bahawa sakit itu “kemungkinan besar disebabkan iritasi cakera atau perubahan pada postur” dan “biasanya boleh pulih dengan fisioterapi.”

Mengesyaki ada perkara yang tak kena dengan kecederaan Tuanzebe, imbasan CT yang dilakukan oleh Napoli menunjukkan sebaliknya. Di mana terdapat keretakan tekanan kronik di tulang belakang bawah (L5).

Dr McNally kemudian didakwa menjawab bahawa masalah sudah wujud sejak imbasan tahun 2017, dan tidak mungkin menjadi punca kesakitan semasa pada masa itu.

Pada Mac 2022, Manchester United hanya mengatur suntikan penahan sakit untuk Tuanzebe. Walaupun masih dalam kesakitan pada Jun 2022, dia tetap dibawa menyertai jelajah pra-musim ke Thailand sebulan kemudian. Semuanya kerana Dr McNally menganggap pemain itu cedera biasa.

Tidak lama selepas itu, Tuanzebe meminta untuk kembali ke England bagi mendapatkan rawatan sebenar. Imbasan lanjut akhirnya mengesahkan keretakan tekanan pada tulang belakang yang semakin serius kerana tidak dirawat dengan sebetulnya.

Atas semua kejadian itu, Tuanzebe menegaskan bahawa Manchester United perlu dipertanggungjawabkan atas kerosakan terhadap kariernya.

Beliau turut mempersoalkan akauntabiliti pasukan perubatan kelab, termasuk keputusan-keputusan yang menurutnya menjejaskan masa depan dan pendapatannya sebagai pemain profesional.

“Situasi ini telah menjejaskan karier dan pendapatan saya. Saya hanya mahu kebenaran dan keadilan,” kata Tuanzebe melalui wakil undang-undangnya.

Kes ini kini menjadi antara saman kecuaian perubatan terbesar yang pernah difailkan terhadap sebuah kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, dan boleh menjadi ‘precedent’ penting dalam memastikan hak pemain profesional dilindungi daripada pengurusan dan kelalaian pasukan perubatan kelab besar.