Satu ciapan mengenai restoran terkenal di Pulau Pinang, Pak Mat Western, telah mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai siapakah ’owner’ di sebalik jenama ini.
Posting oleh seorang pengguna Twitter (@rabbaniahmad_) yang mengulas tentang identiti “owner sebenar” restoran Pak Mat Western telah menarik lebih 105,000 tontonan, 668 tanda suka, dan lebih 200 komen.
Persoalan yang timbul: Siapakah sebenarnya pemilik Pak Mat Western?
Pengguna tersebut berkongsi video daripada Vocket Makan yang memaparkan seorang lelaki muda, dipercayai pemilik restoran terkenal Pak Mat Western.
Namun, komen-komen di bawah ciapan tersebut mula mempersoalkan kesahihan maklumat ini.
Ada yang mengatakan lelaki itu hanyalah pekerja yang dibayar untuk sesi penggambaran, sementara yang lain pula memuji usia muda “owner” tersebut, menunjukkan rasa kagum terhadap usahawan.
Namun, perbincangan hangat dalam komen menunjukkan kemungkinan strategi pemasaran yang sering digunakan.
Sebenarnya persoalan siapakah pemilik yang berada di belakang Pak Mat Western terus menjadi tanda tanya.
Tambah-tambah lagi bila Pak Mat Western adalah restoran terkenal yang sering membuat konten-konten yang ada kaitan dengan isu semasa.
Kekuatan pemasaran Pak Mat Western di laman TikTok telah memberi kesan positif terhadap jenama makanan tempatan ini.
Antara artis-artis yang pernah dipaparkan dalam konten-konten Pak Mat Western adalah Senario, Fattah Amin dan Sharnaz Ahmad.
Selain artis, khidmat pencipta kandungan juga turut digunakan.
Pak Mat Western bermula sebagai perniagaan kecil di Bukit Minyak, Pulau Pinang, namun kini berjaya menarik pelanggan dari seluruh negara.
Dengan sambutan luar biasa, restoran ini telah membuka cawangan di Kulai, Johor; Alor Setar, Kedah; dan Ipoh, Perak.
Sejak 2020, Pak Mat Western juga menawarkan produk ‘homemade’ sejuk beku, yang kini memasuki pasaran Singapura dan Brunei.
Di laman sesawang Pak Mat Western menulis rasa syukur mereka dengan jenama yang terus berkembang, berterima kasih atas sokongan pelanggan, dan berjanji untuk memberikan yang terbaik.