Baru-baru ini, tular di laman sosial yang memaparkan seorang anggota polis langgar kenderaan awam secara tidak sengaja.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di laman X, kejadian itu berjaya dirakam dash cam pemilik kenderaan terbabit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagaimanapun, lokasi dan tarikh sebenar kejadian polis langgar kenderaan itu tidak dapat dipastikan.

Dalam video tersebut, kelihatan anggota polis itu sedang menunggang  jentera dual-sport Kawasaki KLX250 milik Polis Diraja Malaysia yang dipercayai dalam perjalanan menuju ke satu destinasi.

Kenderaan lain pada ketika itu turut memberikan ruang kepada anggota polis tersebut untuk menjalankan tugasnya ketika aliran trafik sedang perlahan.

Ketika polis tersebut mengubah laluannya, dia tidak sempat memberhentikan motosikal sekaligus merempuh sebuah kereta lain.

Kesan daripada rempuhan tersebut menyebabkan bahagian belakang kereta berkenaan calar dan mengalami kerosakan. Anggota polis itu meminta mangsa untuk berhenti di tepi jalan selepas memohon maaf atas insiden yang berlaku.

Susulan kejadian tersebut, ramai yang tertanya-tanya bagaimana membuat tuntutan ganti rugi sekiranya perkara tersebut berlaku terhadap orang lain.

Polis langgar kenderaan
Sumber Gambar: Majoriti

Menurut laporan Majoriti, seorang peguam yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar membuat penjelasan netizen tidak perlu panik jika mengalami insiden tersebut.

Katanya, mangsa boleh membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bahan bukti kerana kenderaan yang dimiliki pasukan polis tidak dilindungi insurans.

“Saya tahu nampaknya ramai yang tidak pasti tentang apa yang perlu dilakukan dalam situasi sedemikian.

“Sekiranya berlaku kemalangan seperti itu, pemandu harus membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyertakan bahan bukti sekali.

“Ini kerana, bagi kenderaan yang dimiliki oleh pasukan polis, ia tidak dilindungi oleh insurans.

“Tapi jangan risau, kerana anda boleh membuat tuntutan kepada kerajaan untuk mendapatkan pampasan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan mendapat Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 sebagai kelebihan, yang menyatakan bahawa mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan kerajaan hanya mempunyai tempoh tiga tahun untuk membawa kerajaan ke mahkamah.