Warga maya hari ini dikejutkan dengan kejadian seorang wanita dipercayai warga India disyaki tertimbus bawah tanah mendap dengan kedalaman lebih kurang 10 meter berdekatan Masjid India, di sini, pagi tadi.
Satu video rakaman CCTV tular di media sosial yang menunjukkan detik cemas wanita tersebut terjatuh ke dalam tanah jerlus ketika sedang berjalan kaki di kawasan terbabit.
Baca Juga:
Difahamkan, mangsa dan keluarganya sedang bercuti di ibu negara dan akan berangkat pulang ke negara asalnya dalam masa terdekat.
CCTV mengenai kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pagi ini. pic.twitter.com/3GPX1a2MfN
— Kosmo! Online (@kosmo_online) August 23, 2024
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.22 pagi.
Seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi SAR itu.
“15 anggota pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan bantuan daripada Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.
Komander Operasi, Mohd Riduan Akhyar turut mengesahkan terdapat seorang mangsa wanita terjatuh ke dalam lubang dan tertimbus di bawah tanah.
Setakat jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.
Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian.