Pada usia 60 tahun, ketika ramai rakan sebaya mungkin memilih untuk berehat di rumah, Ariffin Abdul Manan membuktikan bahawa semangat kental mampu mengatasi segala keterbatasan.

Anak jati Jerantut, Pahang ini bukan sahaja berjaya menamatkan cabaran lasak IRONMAN 70.3 Langkawi 2026 kelmarin, malah kesederhanaannya menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa itu dengan kelengkapan asas telah menyentuh hati rakyat Malaysia.

Kisah kegigihan warga emas yang mesra disapa Pakcik Ariffin itu segera tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian Kerajaan Negeri Pahang untuk tampil menghulurkan sokongan buat beliau.

Bermula Dari Niat Berhenti Merokok Dan Basikal Lama

Di sebalik kejayaan menawan pentas triatlon berprestij itu, tersimpan kisah perjalanan hidup yang cukup sederhana dan dekat di hati masyarakat lapor BuletinTV3.

Ariffin yang sebelum ini pernah mencari rezeki sebagai pemandu pelancong di Kuala Lumpur sebenarnya tidak bermula sebagai atlet profesional.

Segalanya bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila beliau menjadikan aktiviti berlari sebagai amalan harian demi satu matlamat peribadi, iaitu untuk berhenti merokok.

Siapa sangka, langkah kecil demi kesihatan itu akhirnya memupuk minat mendalam terhadap sukan lasak sehingga ke hari ini.

Lebih menyentuh perasaan, penyertaan beliau dalam kejohanan kali ini juga disertai dengan peralatan serba sederhana.

Beliau sebelum ini pernah berkongsi hasrat untuk menggunakan basikal lama yang dibeli daripada seorang sahabat warga Australia pada tahun 2013 dengan harga RM3,500 bagi mengharungi saingan tersebut.

Harungi 113 Kilometer Dengan Kelengkapan Asas

Meskipun tampil tanpa jentera canggih atau kelengkapan mewah seperti kebanyakan peserta lain, prestasi Ariffin di lapangan tetap membanggakan.

Beliau berjaya menamatkan kesemua tiga disiplin mencabar melibatkan jarak keseluruhan 113 kilometer, iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal sejauh 90 kilometer, dan berlari sejauh 21.1 kilometer.

Dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat, Ariffin berjaya menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta dalam kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun. Pencapaian ini membuktikan bahawa disiplin diri yang dibina bertahun-tahun lamanya menjadi senjata utama beliau di garisan penamat.

Kerajaan Pahang Sedia Bantu, Angkat Jadi Ikon Anak Muda

Kejayaan luar biasa anak Pahang itu turut mendapat pengiktirafan rasmi apabila dibangkitkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud mengemukakan soalan tambahan mengenai pencapaian Ariffin serta mencadangkan agar kerajaan negeri mengangkat beliau sebagai ikon Pahang dan memberikan insentif yang sewajarnya susulan kejayaan yang tular di seluruh negara itu.

Menjawab soalan tambahan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan bahawa kerajaan negeri bersedia membantu Ariffin daripada aspek kelengkapan sukan.

“Insya-Allah, sebab kita tengok sudah jadi tular IRONMAN Langkawi 2026 penyertaan Pakcik Ariffin yang bersahaja dengan kelengkapan asas.

“Kerajaan Pahang dengan persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sedia bantu kelengkapan sukan supaya beliau tidak dibiarkan bersendirian dan menjadi ikon kepada anak muda.

“Dalam serba kekurangan, beliau masih boleh terbabit aktif dan berjaya menghabiskan kejohanan itu,” katanya dalam persidangan tersebut.

Kisah Pakcik Ariffin ini menjadi cerminan bahawa kejayaan tidak semestinya menuntut permulaan yang sempurna atau peralatan serba mahal, sebaliknya keazaman yang tidak pernah padam walau dimamah usia.