Baru-baru ini, media sosial digemparkan dengan pendedahan seorang wanita tempatan yang meluahkan rasa kesal dan kecewa melihat gelagat segelintir warga asing, khususnya dari negara Indonesia, yang begitu bangga menceritakan pengalaman mereka menetap di Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Melalui beberapa tangkap layar ruangan komen di sebuah aplikasi media sosial, isu ini membuka mata ramai pihak tentang sikap segelintir pendatang yang memandang enteng sistem penguatkuasaan kita.
Luahan wanita tersebut cukup memberikan kesan yang mendalam dan mewakili suara hati ramai rakyat. Dia merintih melihat bagaimana golongan ini dengan mudah masuk ke negara kita, bekerja, dan kemudiannya seolah-olah merendahkan martabat undang-undang Malaysia.
Keluhannya yang berbunyi, “Bangganya masing-masing, nah tengoklah macam mana masing-masing cerita berapa tahun duduk Malaysia tak ada pasport tak ada permit… dahsyat sangat yang masuk Malaysia macam mereka ini rendahkan kita rakyat Malaysia macam tu sahaja… lemahnya undang-undang kita”, jelas menggambarkan kerisauan seorang rakyat yang sayangkan kedaulatan negaranya.
Apa yang lebih mengejutkan adalah sikap terbuka mereka di ruangan komen. Perkara yang sepatutnya menjadi satu kesalahan serius di sisi undang-undang kini ibarat satu pencapaian peribadi yang rancak dijaja. Rata-rata mereka menggunakan istilah ‘kosongan’ yang merujuk kepada status ketiadaan pasport atau permit kerja.
Sebagai contoh, seorang pengguna dengan selamba menulis, “aku kosongan kak tapi tiap hari jalan ke KLCC ini”. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang berlumba-lumba berkongsi tempoh masa mereka berjaya mengaburi mata pihak berkuasa.
Seorang individu mendedahkan, “saya 20 tahun tanpa permit aman ja”, manakala seorang lagi menyokong dengan kenyataan, “aku 8 tahun alhamdulillah tidak pernah kena polis”. Bahkan, ada yang mengatakan mereka sudah berani melancong hingga ke hujung negeri Perak.
Keberanian mereka tidak terhenti sekadar berjalan-jalan di waktu siang atau berselindung di tempat terpencil. Ada yang dengan angkuh mengaku, “saya 4 tahun di Malaysia tak takut malam-malam jam 12 berkeliaran”.
Lebih membimbangkan, mereka turut saling berkongsi taktik dan pengalaman bagaimana melepaskan diri apabila berhadapan dengan sekatan jalan raya.
Seorang pengguna menceritakan pengalamannya secara terperinci, “aku juga kosongan kak, sering ketemu tuan bermotor, bahkan pernah kena roadblock tapi tak ditanya apa-apa kerana aku bersikap santai.
Kalau kelihatan gugup automatik ringgit keluar… tapi alhamdulillah meski berpasan tak pernah ditanya apa-apa”.

Kenyataan sebegini bukan sahaja mencalarkan imej pasukan keselamatan, malah memberi gambaran seolah-olah sistem kita begitu mudah dimanipulasi dengan hanya berlakon tenang dan menggunakan jalan pintas.
Melihat kepada rentetan komen-komen ini, tidak hairanlah mengapa wanita tempatan tersebut merasakan undang-undang kita diperlekehkan.
Ini memberi satu tamparan hebat kepada kita semua. Walaupun rakyat Malaysia terkenal dengan sifat ramah dan tahap empati yang tinggi terhadap sesiapa sahaja yang datang mencari rezeki, sifat kemanusiaan ini tidak seharusnya disalahgunakan sehingga memijak kedaulatan negara sendiri.
Pendedahan ikhlas ini bukanlah bertujuan untuk menyebarkan sengketa, tetapi lebih kepada satu panggilan kesedaran buat masyarakat dan pihak berkuasa.
Ruangan komen tersebut yang turut diselitkan dengan tindakan netizen tempatan menandakan akaun rasmi Jabatan Imigresen Malaysia membuktikan bahawa rakyat sedang memerhati, cakna, dan menanti tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Kesimpulannya, kita amat menghargai titik peluh pekerja asing yang banyak membantu memacu sektor ekonomi negara, namun keberadaan mereka mestilah berlandaskan perundangan yang betul dan sah. Undang-undang wujud untuk memelihara keselamatan semua pihak.
Apabila ia dipersendakan secara terbuka sebegini, sudah tiba masanya ketegasan diutamakan agar kedaulatan Malaysia kekal terpelihara dan dihormati oleh sesiapa sahaja yang memijak buminya.