Pemilik gerai kantin sekolah rendah, yang menjadi terkenal kerana video media sosial yang memperincikan pengalaman kerjanya, berkata beliau merancang untuk menutup gerainya selepas menerima aduan mengenai klip viral tersebut.

Rayner Tan, 27, yang lebih dikenali dengan nama media sosialnya @veg.eng, sebelum ini tular kerana satu video di mana beliau membetulkan seorang pelajar lelaki yang mencampakkan wang kertas dua dolar ke atas kaunter semasa memesan makanan.

Tular Tegur Pelajar Campak Duit, Kedai Kantin Popular Terpaksa Tutup Gara-Gara Terima 'Aduan'
Sumber Gambar: Stomp

Beliau berkata, klip tersebut telah diturunkan selepas satu “aduan” dibuat kepada Sekolah Mee Toh. Beliau menambah bahawa berurusan dengan “pihak sekolah, pihak berkuasa, dan ibu bapa” telah menjadi sukar.

Mengumumkan berita “malang” itu pada hari ke-62 perjalanan gerai kantinnya, Encik Tan memberitahu hampir 18,000 pengikut Instagramnya bahawa beliau tidak akan memperbaharui kontrak sewanya pada tahun 2026.

“Sukar untuk berurusan dengan pihak sekolah, pihak berkuasa, dan ibu bapa,” katanya, sambil menambah bahawa beliau sedang memikirkan langkah seterusnya.

Encik Tan mendedahkan bahawa aduan telah dibuat kepada pihak sekolah berhubung video viral itu dan beliau diwajibkan untuk memadam video tersebut, bersama-sama beberapa video lain.

Beliau turut memetik masalah dengan “pendapatan yang tidak mampan”. Beliau mengucapkan terima kasih kepada warga maya atas “komen positif, sokongan, dan galakan, serta menjadikan video (beliau) tular”.

Di dalam video yang pernah disiarkan, ada murid yang membuat pesanan dengan nada suara yang kasar, turut ditegur olehnya agar murid terbabit lebih beradab apatah lagi dengan orang yang lebih tua.

Encik Tan telah memadam video asal dan menggantikannya dengan versi lain yang tidak menyentuh mengenai aduan dan cabaran yang dihadapinya.

Pihak Stomp telah mendapat respon dari pihak sekolah sendiri, pengetua Sekolah Mee Toh, Kelvin Tay, berkata pihak sekolah telah menerima maklum balas daripada “ibu bapa yang prihatin dan orang awam” mengenai video yang memaparkan Encik Tan menguruskan gerainya dan berinteraksi dengan pelajar.

Memandangkan beliau tidak mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum merakam atau merekodkan pelajar, klip video tersebut telah diturunkan.

“Encik Tan membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak sewanya atas kerelaan sendiri. Pihak sekolah tidak meminta beliau menamatkan kontraknya,” kata Encik Tay.

Sementara itu, warganet juga berterima kasih kepadanya kerana “cuba membawa perubahan” kepada kanak-kanak, dengan beberapa orang menambah bahawa mereka akan merinduinya dan kandungan yang dikongsinya.

“Sangat sedih mendengar tentang perkara ini,” komen salah seorang netizen. Yang lain pula meluahkan rasa kecewa terhadap aduan yang difailkan mengenai video viralnya, menyifatkan tindakan itu sebagai “mengada-ngada” (entitled).